Pertumbuhan pekerjaan paling perlahan sejak 2003; MOM

SERAMAI 10,700 diserap dalam pasaran buruh tahun lalu (2016) - meningkat 0.5 peratus berbanding dengan pertumbuhan mendatar pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, purata kadar pengangguran tahunan bagi warga Singapura dan penduduk tetap pada tahun lepas - walau masih rendah - meningkat ke paras tertinggi sejak 2010, dan bilangan pemberhentian merupakan yang tertinggi dalam tujuh tahun.

Pertumbuhan pekerjaan secara keseluruhan merosot sedikit kerana tenaga kerja asing, tidak termasuk pembantu rumah, menguncup sebanyak 2,500 orang atau 0.2 peratus - kali pertama ia jatuh sejak 2009.

Jumlah tenaga hanya kerja bertambah sebanyak 16,400, termasuk pembantu rumah, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan tahun lepas.

Pada kadar 0.4 peratus, ia adalah pertumbuhan pekerjaan paling perlahan sejak 2003, apabila pekerjaan jatuh sebanyak 12,900, menurut data awal terkini Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Khamis (26 Jan).

"Persekitaran ekonomi yang lebih lemah dan tidak menentu pada 2016 membentangkan satu cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan dan membendung bertambahnya pengangguran," kata MOM dalam satu kenyataan.

Walaupun terdapat musim perayaan pada suku keempat, pengambilan pekerja sepi - hanya 1,900 berbanding 16,100 pada suku keempat 2015.

Ini menjadikan jumlah pekerjaan kepada 3,672,600 pada Disember tahun lepas.

Lebih ramai orang diberhentikan kerja pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya kerana penyusunan semula dan ekonomi yang lebih perlahan, kata kementerian itu.

Seramai 19,000 orang telah diberhentikan kerja atau telah kontrak mereka dibatalkan - jumlah tertinggi sejak krisis kewangan global pada 2009. Jumlah pemberhentian pekerja sahaja mencecah 16,600.

Walau masih rendah, purata kadar pengangguran tahunan bagi warga Singapura dan penduduk tetap pada tahun lepas meningkat ke paras tertinggi sejak 2010, pada kadar 3 peratus, berbanding 2.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Permintaan buruh tidak lagi melebihi bekalan, dan pertumbuhan pendapatan juga perlahan.

Pendapatan median termasuk sumbangan majikan kepada Tabung Simpanan Pekerja meningkat tahun lepas sebanyak 0.7 peratus bagi rakyat Singapura yang bekerja sepenuh masa kepada $3,823. Selepas mengambil kira inflasi negatif, pertumbuhan pendapatan median sebenar adalah 1.3 peratus.

Ini adalah kelembapan ketara daripada pertumbuhan sebenar 7 peratus pada 2015.

"Sedang kita mengubah industri kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat Singapura di semua peringkat, MOM dan Tenaga Kerja Singapura akan meningkatkan usaha dengan rakan-rakan tiga pihak bagi membantu pekerja merebut peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program sokongan pekerjaan dan kerjaya di bawah SkillsFuture dan inisiatif Menyesuaikan diri dan Tumbuh," kata kementerian itu.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:02
Zuhur
1:08
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 42
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.