Pertumbuhan Singapura perlu berteraskan produktiviti dan inovasi: Ong Ye Kung

PERTUMBUHAN ekonomi Singapura tidak boleh dicapai melalui dorongan tenaga manusia, tetapi harus berdasarkan produktiviti dan inovasi, kata Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung.

Beliau berkata demikian pada Selasa (24 Jan) dalam previu satu laporan yang akan dibentang mengenai bagaimana Singapura boleh menjana ekonominya bagi masa depan yang tidak menentu dan mencabar.

Bercakap di perbincangan meja bundar anjuran Universiti Teknologi Singapura (SUTD) Pusat Design untuk Bandar Inovatif Lee Kuan Yew, Encik Ong berkata Singapura menghadapi trend demografi mencabar, terikat dengan saiznya yang kecil dan tidak boleh mengepam pertumbuhan dengan meningkatkan saiz tenaga kerjanya.

"Kita perlu melindungi rasa kekitaan bahawa kita rakyat Singapura, dan membangunkan identiti Singapura yang unik," katanya.

"Kami dalam satu perjalanan yang tidak boleh berpatah balik untuk mencapai pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi."

Laporan Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan (CFE), yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, akan memberi tumpuan kepada bagaimana Singapura boleh memaksimumkan sumber yang terhad melalui produktiviti dan inovasi, kata beliau.

"Ia tidak lagi tentang mengawal jumlah sumber, tetapi menyelam jauh ke dalam algoritma dan mekanisme peruntukan mereka, membuat lompatan besar mencapai optimum," katanya.

Sepanjang tahun lalu, CFE telah membincangkan bagaimana pekerja dan perniagaan boleh bersiap sedia menghadapi masa depan. Encik merupakan pengerusi bersama jawatankuasa kecil bagi pekerjaan dan kemahiran masa hadapan.

Encik Ong berkata jawatankuasa ekonomi lalu telah meletakkan perhatian kepada produktiviti, kemahiran dan inovasi, dan skim-skim baru telah membantu syarikat menyusun semula.

CFE terus membina usaha-usaha ini, tetapi saranannya memerlukan perubahan yang lebih mendalam yang mungkin mengambil masa satu generasi lebih merealisasikannya. Mereka berusaha menjawab soalan: Bagaimana kita dapat melakukan lebih dengan sumber kurang? Encik Ong memberi empat jawapan.

Pertama, Singapura perlu mengenal pasti bidang pertumbuhan masa depan yang ia ada kelebihan, seperti perdagangan, lapangan terbang dan pelabuhan, dan ekonomi digital, dan membolehkan inovasi di kawasan yang tidak dijangka.

Kedua, mempertajam asas kemahiran pekerja, dan memikirkan semula pendidikan dengan memperluas makna kejayaan, lebih daripada setakad akademik dan ke arah penguasaan kemahiran.

Ketiga, rakyat dan syarikat perlu digalak meneroka dan memasuki pasaran serantau dan global.

Empat, kemahiran mendalam dan keinginan meneroka boleh menjadi asas bagi semangat keusahawanan yang patut dipupuk.

Encik Ong berkata pemerintah boleh memupuk persekitaran yang memudahkan keusahawanan, tetapi masyarakat perlu "memainkan peranan lebih besar, dengan cara ia melihat kegagalan, meraikan kejayaan dan memutuskan siapa harus dihormati".

"Kita perlu memberi penghormatan kepada usahawan seperti yang kita lakukan terhadap cendekiawan," katanya.

Encik Ong berkata beliau melihat semangat keusahawanan di kalangan pelajar hari ini, sambil menambah bahawa ibu bapa juga harus menyokong belia yang mahu menjadi perintis.

Singapura, katanya, mempunyai kelebihan semula jadi dari segi geografi yang menarik orang yang berdaya usaha dari rantau ini dan di luar ke negara ini, membentuk penduduk yang pelbagai pada hari ini.

"Kita tidak hanya sebuah perkampungan nelayan sebelum 1819. Kita adalah tempat yang bertenaga," kata beliau sambil menambah bahawa asas telah dibina dengan perkembangan industri, daripada pengilangan kepada logistik.

"Semangat keusahawanan ada dalam darah dan DNA kita. Kita perlu terus membinanya - menjadikan sistem kita lebih berupaya, lebih produktif dan lebih berdaya usaha."

Jantung CFE, ujarnya, bukan sahaja ekonomi yang berkembang maju, malah memastikan setiap rakyat Singapura berkongsi faedah pertumbuhannya.

Encik Ong memberi contoh tentang pertemuannya dengan seorang lelaki pertengahan umur berbahasa Hokkien yang bekerja di Google, mengendalikan kafeteria.

"Ini adalah satu contoh bagaimana ekonomi digital dan pertumbuhan industri lain akan mewujudkan peluang pekerjaan. Ini adalah pertumbuhan inklusif," kata beliau. - ST

Waktu Solat

Subuh
5:28
Syuruk
6:50
Zuhur
12:52
Asar
4:15
Maghrib
6:53
Isyak
8:06
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.