Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN BELANJAWAN 2023

Perubahan bonus bayi dan cuti bapa kejutan manis

Feb 16, 2023 | 05:30 AM



MEREKA ghairah dan tidak sabar menyambut anggota baru dalam keluarga dan bergelar ibu bapa buat kali pertama tidak lama lagi.



Namun apa yang membuat perjalanan mereka lebih manis sedang mereka bakal membuka lembaran baru ini adalah pelbagai langkah sokongan yang diumumkan semasa Belanjawan yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada Selasa.



Bagi pasangan muda ini, mereka mengalu-alukan pelbagai usaha dalam bentuk kewangan yang diumumkan bagi menyokong ibu bapa seperti hadiah wang tunai, geran dan pelepasan cukai.



Namun lebih penting lagi bagi mereka adalah usaha untuk membantu mereka mengimbangi antara komitmen kerja dengan keluarga.



Encik Wong antara lain mengumumkan untuk menambah Hadiah Tunai Bonus Bayi (BBCG) sebanyak $3,000 bagi bayi warga Singapura yang layak dan lahir pada atau selepas 14 Februari 2023.



Pemerintah juga akan mempertingkat Akaun Pembangunan Anak (CDA) dengan menambah Geran Langkah Pertama (FSG) sebanyak $2,000 bagi setiap anak dan had dana pemerintah bagi pemadanan ditambah $1,000 bagi anak pertama dan kedua yang layak, dan lahir pada atau selepas 14 Februari 2023.



Bagi Encik Muhammad Abu Bakar dan isteri, Cik Nikmatul Husna Mas 'Ali, kedua-duanya 30 tahun, mereka yakin langkah yang diumumkan itu dapat banyak membantu ibu bapa yang bakal menimang zuriat mereka menangani inflasi yang tinggi serta kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).



"Peningkatan kepada CDA misalnya dapat membantu kami menyiapkan keperluan pendidikan anak kami pada masa akan datang.



"Sumbangan tambahan daripada pemerintah juga dapat mengurangkan kebimbangan kami tentang yuran prasekolah anak kami nanti.



"Ini lebih-lebih lagi kerana kami berdua bekerja dan perlu merancang awal bagi penjagaan anak kami apabila kami keluar bekerja," ujar Encik Muhammad yang bakal menyambut zuriat pertamanya menjelang lewat April.



Namun lebih daripada sokongan dalam bentuk kewangan, penganalisis di sebuah bank itu juga ghairah lebih banyak sokongan akan diberikan kepada kaum Adam untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai bapa, khususnya dalam tahun-tahun awal pembangunan anak mereka.



Encik Wong juga telah mengumumkan cuti bapa dibayar pemerintah akan digandakan kepada empat minggu daripada dua minggu bagi bapa yang layak, dan anak mereka lahir pada atau selepas 1 Januari 2024.



Bagi Cik Farah Atiqah Nor Shaidi, 29 tahun, yang bersama suami, Encik Muhammad Arif Rahmat, 32 tahun, akan menimang anak sulungnya bulan depan, langkah itu amat dialu-alukan kerana kedua-dua ibu dan anak memerlukan sokongan berterusan terutama daripada kaum bapa terhadap tumbesaran bayi.



"Ini juga dapat memupuk hubungan lebih rapat antara bapa dengan anak serta memberi kaum ibu yang baru bersalin lebih banyak masa untuk pulih dan berehat.



"Bapa yang memainkan peranan aktif juga dapat menyumbang kepada kesihatan psikologi dan fizikal anak," ujar pegawai pemerolehan bakat itu sambil menambah, ini juga mungkin dapat menggalak lebih ramai pasangan merancang untuk ada zuriat pada masa akan datang.



Menurut Encik Muhammad, majikan juga memainkan peranan penting dalam hal ini untuk menghakis tanggapan bahawa ibu bapa kononnya menggunakan peluang ini untuk mengabaikan tanggungjawab kerja mereka tetapi sebaliknya menganggapnya sebagai satu keperluan bagi ibu bapa.



Langkah itu turut disambut baik Cik Hairunisha Ismail, 35 tahun, yang menyambut kelahiran putera sulungnya pada 3 November 2022.



Menurutnya, pengumuman pelbagai langkah yang bertujuan menyokong ibu bapa itu cukup menarik dan mungkin akan mendorong beliau dan suami merancang bagi lebih ramai anak pada masa akan datang.



"Meskipun kami amat mengalu-alukan insentif kewangan yang diumumkan itu, cuti bapa dibayar pemerintah yang ditambah hingga empat minggu ini lebih-lebih lagi bermanfaat kerana jika saya menimang anak lagi selepas ini, suami saya dapat meluangkan lebih banyak masa menjaga anak sulung saya sementara saya pulih dan berehat bersama bayi baru kami," ujar eksekutif kanan pemasaran itu.



Tambahnya, beliau juga teruja dapat meraih manfaat daripada Geran Sokongan Bayi (BSG) berjumlah $3,000 yang dilanjutkan pemerintah kepada bayi warga Singapura yang lahir dari 1 Oktober 2022 hingga 13 Februari 2023.



"Saya merancang menggunakan wang ini bagi yuran bulanan penjagaan bayi kami (yang) boleh membiayai sekurang-kurangnya empat bulan," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >