Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Perubahan demi lindungi pekerja lanjut usia yang ingin kerja lebih lama: See Leng

Nov 03, 2021 | 05:30 AM



LANGKAH menetapkan usia statutori bagi persaraan dan pengambilan kerja semula kekal penting kerana ia boleh melindungi pekerja lanjut usia daripada majikan yang tidak bersikap progresif dan terbuka kepada kakitangan yang ingin bekerja lebih lama, kata Menteri Tenaga Manusia Encik Tan See Leng.



Beliau berkata demikian dalam ucapan menyeluruh serta responsnya terhadap pertanyaan Anggota Parlimen (AP) lain mengenai perubahan terhadap undang-undang persaraan dan pengambilan kerja serta peraturan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang diluluskan di parlimen semalam.



Menyentuh tentang rancangan Singapura untuk menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun dan usia pengambilan bekerja semula kepada 70 tahun pada 2030, Dr Tan berkata ini boleh tercapai meskipun sukar dan pindaan tersebut mencerminkan konsensus Kumpulan Bertindak Tiga Pihak berkaitan Pekerja Lanjut Usia terhadap rancangan tersebut.



"Kami tidak menafikan sebarang perubahan yang mungkin berlaku pada masa depan yang boleh menjejas pendekatan ini, dan model tiga pihak konstruktif ini akan memastikan kita terus mampu menyesuaikan diri dan memberikan respons kepada keperluan ini dalam beberapa dekad akan datang," kata Dr Tan dalam ucapannya.



Ini selepas AP Encik Louis Ng (Nee Soon) mengemukakan pertanyaan mengapa usia persaraan yang ditetapkan dalam perundangan kini antara 62 hingga 65 tahun berbanding 62 hingga 67 tahun sebelum itu.



Menjawab pertanyaan beberapa AP tentang mengapa usia persaraan statutori diperlukan, Dr Tan menekankan bahawa isu tersebut sudah dipertimbang secara terperinci oleh kumpulan bertindak tiga pihak itu.



"Negara yang tidak mempunyai usia persaraan statutori tidak semestinya mempunyai kadar pengambilan pekerja lanjut usia yang lebih tinggi, meskipun ada negara yang mempunyai undang-undang anti-diskriminasi," katanya.



Dr Tan menambah pendekatan Singapura terus relevan dan ini terbukti apabila usia persaraan puratanya telah meningkat lebih pantas berbanding purata yang dicatatkan dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.



Beliau turut mengesahkan bahawa saiz Bayaran Bantuan Pekerjaan (EAP) yang dibayar sekali sahaja bagi pekerja lanjut usia yang tidak ingin bekerja semula akan dinaikkan pada 1 Julai tahun depan, sejajar dengan pertumbuhan gaji secara umum.



Cik Nadia Samdin (Ang Mo Kio) dan Encik Patrick Tay (Pioneer) bertanya sama ada jumlah yang diperuntukkan bagi EAP - antara $5,500 hingga $13,000 - mencukupi untuk pekerja.



Menyentuh tentang keseimbangan yang perlu dicapai, Dr Tan berkata EAP yang terlalu tinggi akan membuat majikan enggan mengambil pekerja yang hampir mencecah usia persaraan sementara EAP yang terlalu rendah mungkin tidak akan menggalakkan mereka menawarkan peluang bekerja semula kepada individu lanjut usia.



Pada masa yang sama, Dr Tan menekankan perubahan terhadap peraturan bagi prosedur CPF tidak akan menjejas peraturan pengeluaran wang atau program seperti Skim Ihsan Senja, yang memberikan bayaran wang kepada warga emas yang telah meraih pendapatan yang lebih rendah semasa tempoh pekerjaan mereka sebelum itu.



Ia juga tidak akan mengubah usia pengeluaran CPF semasa, dengan pencarum tetap boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya $5,000 pada usia 55 tahun dan mula menerima bayaran CPF daripada usia 65 tahun.




“Sedang perbezaan antara SEP (individu bekerja sendiri) dan pekerja semakin kabur, dengan beberapa negara mengiktiraf SEP sebagai “pekerja”, mungkin pembeli khidmat boleh dikehendaki membuat sumbangan CPF untuk SEP juga? Supaya jelas, skim CAYE (Sumbang Sambil Meraih Pendapatan) sedia ada (terpakai dalam sektor awam sahaja), menghendaki pemerintah mengambil sebahagian daripada yuran kepunyaan SEP, untuk dikreditkan ke akaun Medisave SEP. Apa yang saya cadangkan ialah satu langkah lebih lanjut – bahawa pembeli khidmat (daripada kedua-dua sektor awam dan swasta) membuat sumbangan tambahan kepada akaun CPF SEP; yang mencerminkan sumbangan CPF majikan di bawah hubungan pekerjaan biasa. Jika diterima, ini bermakna secara praktikalnya, pembeli khidmat akan membuat sumbangan CPF yang terdiri daripada bahagian SEP (di bawah skim CAYE sedia ada), serta jumlah tambahan iaitu sumbangan pembeli khidmat itu juga.”
– Encik Patrick Tay (SMC Pioneer).



“Pindaan kepada Rang Undang-Undang ini akan membolehkan warga emas yang ingin terus bekerja untuk melakukan sedemikian. Memandangkan bilangan penduduk di Singapura semakin menua, pindaan ini juga akan membolehkan perniagaan-perniagaan untuk memanfaatkan golongan pekerja ini yang kaya dengan pengalaman. Namun, bagi memenuhi tujuan rang undang-undang ini, kenaikan kepada umur persaraan dan pengambilan bekerja semula mesti dilengkapkan dengan undang-undang anti-diskriminasi umur seperti yang diadakan di garis panduan TAFEP supaya kita dapat melindungi pekerja warga emas kita. Kita juga harus mengubah minda dan dasar-dasar sumber manusia (ataupun HR) seperti mengadakan susunan kerja yang fleksibel atau perancangan kerjaya untuk pekerjaan semula. Kita juga harus berusaha untuk membentuk semula pekerjaan-pekerjaan yang memanfaatkan kekuatan warga emas kita supaya kita dapat menyediakan lebih banyak peluang untuk pekerja warga emas.” – Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).



“Kunci menaikkan usia persaraan dan pengambilan kerja semula dengan berjaya ialah mewujudkan tempat kerja yang inklusif dan progresif. Ini bermakna majikan secara proaktif berbincang dan menggunakan rancangan pembangunan kerjaya berstruktur dengan pekerja mereka yang lebih tua. Ini kemudian akan membolehkan latihan dan reka bentuk semula pekerjaan untuk meningkatkan produktiviti dan bertahan lama di tempat kerja. Majikan juga mesti digalakkan untuk menyediakan lebih banyak peluang pengambilan kerja semula bagi mengekalkan pekerja yang berpengalaman ini. – Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab.  – Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >