HUJAN lebat dan kadar penglihatan yang kurang baik telah memaksa juruterbang penerbangan Firefly untuk membatalkan pendaratan di Lapangan Terbang Seletar semalam.
Pesawat FY3132 dari Lapangan Terbang Subang sebaliknya diarah mendarat di Lapangan Terbang Senai di Johor, menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).
Lapangan Terbang Seletar tidak mempunyai peralatan prosedur pendekatan dan memerlukan juruterbang bergantung kepada kadar penglihatan mereka ketika mendarat.
Mengesahkan peralihan penerbangan tersebut akibat cuaca buruk, jurucakap syarikat penerbangan Malaysia itu berkata: “Keselamatan menjadi keutamaan kami.”
Menurut jurucakap itu lagi, pengangkutan darat telah diaturkan buat 25 penumpang yang terjejas dalam penerbangan itu.
Sementara itu, 35 penumpang yang menunggu di Lapangan Terbang Seletar untuk penerbangan pulang ke Subang telah diletakkan dalam penerbangan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Changi.
Changi Airport Group dan syarikat pengendalian darat penerbangan itu turut menyediakan bas dari Seletar ke Changi bagi penumpang terjejas, tambah jurucakap Firefly.
Ini merupakan masalah operasi pertama yang dialami sejak Firefly membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Seletar sekitar seminggu lalu - hampir lima bulan selepas perkhidmatannya ke Singapura digantung.
Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan enam penerbangan sehari antara lapangan terbang Subang dan Seletar.