Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Peserta Forum Ekonomi Sedunia di SG harus ikut peraturan kesihatan lebih ketat

Setempat
27
0

PARLIMEN

Peserta Forum Ekonomi Sedunia di SG harus ikut peraturan kesihatan lebih ketat

Jan 06, 2021 | 05:30 AM

PESERTA yang menghadiri Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Singapura pada Mei ini harus mematuhi peraturan kesihatan awam yang ketat, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, semalam.

Ini termasuk menjalani ujian Covid-19 sebelum berangkat dan apabila tiba di Singapura, serta mematuhi langkah-langkah pengurusan keselamatan yang ketat.

"Untuk mengurangkan risiko mencetus jangkitan setempat, kami juga akan menerapkan langkah-langkah untuk mengurus interaksi antara masyarakat setempat dengan peserta acara," kata Encik Tan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), yang bertanya tentang langkah kesihatan untuk peserta WEF dan rancangan luar jangka sekiranya keadaan Covid-19 menjadi bertambah teruk hingga perlu menutup sempadan.

Encik Tan berkata peraturan kesihatan awam dan rancangan luar jangka sedang diatur, dan akan mempertimbangkan keadaan koronavirus terbaru di Singapura dan di seluruh dunia.

"Peraturan kesihatan yang dibangunkan untuk acara ini juga dapat menjadi rujukan penting bagi acara-acara berikutnya yang akan diadakan di Singapura," tambahnya.

Bulan lalu, WEF mengumumkan keputusannya untuk memindahkan forum tahunan itu dari Switzerland ke Singapura pada Mei ini, berdasarkan keadaan Covid-19 di Eropah.

Mesyuarat tahunan itu menghimpunkan pemimpin politik, perniagaan dan akademik terkemuka untuk membincangkan isu-isu global yang mendesak.

Acara pada Januari tahun lalu itu mengumpul sekitar 3,000 peserta di Davos, Switzerland.

Acara tersebut akan diadakan di Singapura dari 13 hingga 16 Mei tahun ini, sebelum kembali ke Switzerland pada 2022.

Forum tahunan itu akan buat julung-julung kalinya merangkumi komponen maya bagi membolehkan lebih ramai orang menyertainya semasa pandemik ini.

Encik Yip juga bertanya tentang sejauh mana bakat Singapura akan terlibat dalam menganjurkan acara tersebut.

Menjawab soalan itu, Encik Tan berkata pemerintah telah memperkenalkan firma dan penyedia perkhidmatan setempat yang berminat kepada WEF dan penganjur acara, PublicisLive, bagi potensi untuk bekerjasama.

"Ia juga akan menjadi peluang baik bagi kita untuk menunjukkan bagaimana Singapura menerusi usaha kita boleh melaksanakan protokol kesihatan yang tegas sambil mengekalkan kegiatan ekonomi dan perniagaan yang penting di tengah pandemik Covid-19," ujarnya.

Tambahnya, WEF juga bertujuan memberi tumpuan yang lebih besar kepada Asia, memandangkan pembangunan ekonomi rantau ini, serta kepentingannya yang meningkat kepada ekonomi dunia.


"Untuk mengurangkan risiko mencetus jangkitan setempat, kami juga akan menerapkan langkah-langkah untuk mengurus interaksi antara masyarakat setempat dengan peserta acara... Ia juga akan menjadi peluang baik bagi kita untuk menunjukkan bagaimana Singapura menerusi usaha kita boleh melaksanakan protokol kesihatan yang tegas sambil mengekalkan kegiatan ekonomi dan perniagaan yang penting di tengah pandemik Covid-19.
- Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3