PIHAK pendakwa telah memohon agar inspektor Polis Trafik (TP) Mohd Taufik Abu Bakar yang mencabul kehormatan empat pegawai bawahan dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun lapan bulan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Amanda Chong menekankan bahawa Mohd Taufik, 56 tahun, telah menyalahguna kuasanya apabila dia mencabul kehormatan pegawai yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) itu.
Sementara itu, peguam Mohd Taufik, Encik Gino Hardial Singh, memberitahu Hakim Daerah Jasvender Kaur hari ini (21 Jun) bahawa anak guamnya mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk penyakit arteri koronari dan kencing manis Jenis Dua.
Semasa meminta hukuman yang lebih ringan bagi anak guamnya, Encik Singh berkata ini merupakan kali pertama Mohd Taufik melanggar undang-undang dan dia juga telah berbakti kepada negara selama 31 tahun.
Februari lalu, Cik Kaur mendapati Mohd Taufik bersalah atas enam tuduhan cabul kehormatan yang melibatkan empat mangsa, menyusuli perbicaraan yang berlangsung selama enam hari.
Mohd Taufik melakukan kesalahan itu antara Januari dengan September 2015.
Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin $15,000 dan dijangka dijatuhi hukuman pada 2 Julai.