Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Pilu sambut Raya ditinggal emak yang 'pergi' dek pandemik

BERSAMA,ATIYYAH MOHD SAID

May 08, 2022 | 02:43 PM



SUASANA minggu pertama Syawal di Singapura tahun ini nampaknya begitu meriah sekali.



Selepas dua tahun 'berpuasa' daripada beraya sakan, masyarakat Islam menyambut Hari Raya kali ini dalam saiz kumpulan melebihi 10 orang.



Malah, ramai menyifatkan Hari Raya tahun ini benar-benar terasa Raya berbanding dua tahun lalu.



Semua ini berkat kesabaran dan keteguhan masyarakat kita dalam mengharungi cabaran wabak Covid-19 yang membelenggu seluruh dunia.



Namun dalam kegembiraan menyambut kemenangan kita ini, Hari Raya kali ini menjadi peringatan perit bagi ramai warga Singapura yang telah berdepan dengan kehilangan, tidak kira dalam bentuk apa - kehilangan orang tersayang mahupun pendapatan.



Golongan ini ditinggalkan dengan 'parut' daripada pandemik ini, yang belum pasti dapat lenyap.



Bagi saya, kesyahduan bulan mulia ini lebih terasa tahun ini, kerana ketiadaan Mak yang berpergian ekoran jangkitan Covid-19 pada tahun lalu.



Beliau adalah antara sekitar 1,300 warga Singapura yang menemui maut akibat wabak itu sejak ia melanda negara ini.



Di samping meragut jiwa, pandemik itu turut menjejas banyak periuk nasi.



Ini kerana beberapa sektor ekonomi telah merasakan tamparan Covid-19, yang berlarutan selama dua tahun.



Bagi golongan ini, mungkin Raya juga tidak begitu berseri.



Sayangnya, bagi diri saya, selepas dua tahun menantikan Raya yang normal, penantian ini berakhir dengan kehibaan dan kesayuan pula.



Kemeriahan yang dialami masyarakat Islam beraya, hanya dirasakan tempiasnya sahaja.



Beginilah realiti mereka yang terkesan dengan mendalam oleh wabak ini.



Walau kehidupan harus diteruskan dengan tabah dan cekal, 'trauma' kehilangan emak kerana Covid-19 masih segar dalam ingatan.



Pemergian dalam satu pandemik ternyata menyayatkan hati kerana ramai seperti saya, tidak dapat menatap wajah emak buat kali terakhir.



Pengalaman pahit ini akan bersama saya buat selama-lamanya.



Namun dalam melayan kesedihan ini, penting juga untuk terus menghayati bulan Syawal meskipun Covid-19 telah memberi makna yang berbeza dalam perayaan tahun ini.



Apatah lagi, tahun ini juga pertama kali saya merayakannya tanpa emak dan ayah.



Kalau dahulu, emaklah yang paling sibuk dalam hal persiapan dan perancangan masakan serta membuat kuih-muih, yang kemudiannya akan dibahagi-bahagikan.



Peranan kami lebih bersifat di 'belakang tabir' dan membantu sahaja.



Tetapi tahun ini cukup berbeza sebab kami adik-beradik bergotong-royong memasak lauk-pauk dan kuih Raya.



Kami mendapat sokongan 'bakat import' - kakak kedua saya yang bermastautin di Dubai dan paling pakar dalam perihal resipi arwah emak saya - untuk menolong dan mengajar kami semasa beliau pulang ke sini selama dua minggu pertama Ramadan.



Alhamdulilah, sejauh ini tiada yang cirit-birit.



Walaupun kemeriahan Hari Raya tanpa emak dan ayah memang tidak sama, sedikit sebanyak ukhwah antara adik-beradik dapat menceriakan diri masing-masing dalam masa duka.



Untung saya dapat menemui penawar ini.



Sebab saya pasti, bagi segelintir orang, bukan mudah untuk mencari sinar dalam kekelaman pandemik ini.



Apabila direnung semula, Covid-19 bukan hanya mengukir sejarah dunia, ia menjadi sebahagian daripada sejarah kehidupan setiap daripada kita.



Bagi mereka yang kehidupan telah terpalit dengan kesan Covid-19, saya kirimkan doa dan harapan agar anda kembali sejahtera dan tenteram jiwa di samping bertemu kejayaan.



Dalam keriuhan menyambut Hari Raya dan keseronokan mengecapi kehidupan yang lebih normal tahun ini, saya berharap masyarakat terus berwaspada dan semoga dielakkan daripada apa sahaja kesan kepahitan wabak ini.



Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.




Bagi diri saya selepas dua tahun menantikan Raya yang normal, penantian ini berakhir dengan kehibaan dan kesayuan pula. Kemeriahan beraya hanya dirasakan tempiasnya sahaja. Beginilah realiti mereka yang terkesan dengan mendalam oleh wabak ini. Walau kehidupan harus diteruskan dengan tabah dan cekal, ‘trauma’ kehilangan emak kerana Covid-19 masih segar dalam ingatan. Pemergian dalam satu pandemik ternyata menyayatkan hati kerana ramai seperti saya, tidak dapat menatap wajah emak buat kali terakhir. Pengalaman pahit ini akan bersama saya buat selama-lamanya.’’ 
- Penulis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >