Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pimpin rundingan RCEP selama lapan tahun

Ketua Perunding RCEP kongsi pengalaman pimpin pasukan S'pura
Nov 28, 2020 | 05:30 AM



BERSENGKANG mata sehingga 3 pagi dan berjauhan daripada keluarga untuk menjalankan rundingan demi rundingan selama lapan tahun bagi mencapai kata sepakat dalam mencapai perjanjian dagangan bebas terbesar dunia.



Ia merupakan pengorbanan yang perlu dilakukan Cik Sulaimah Mahmood sebagai Ketua Perunding Singapura bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang ditandatangani baru-baru ini.



Bahkan, Pengarah Kanan di Divisyen Asean dan Divisyen Asia Tenggara dan Oceania, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), itu menyifatkan rundingan tersebut sebagai paling mencabar pernah disertai.



Apakan tidak, ia bukan merupakan pakatan dua negara sahaja malah melibatkan 15 negara yang mempunyai tahap perkembangan ekonomi yang berbeza.



Pengorbanan itu membuahkan hasil apabila RCEP baru-baru ini ditandatangani 15 negara di Sidang Puncak Asean ke-37.



Ia melibatkan 10 negara Asean iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam, di samping China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.



Kejayaan Cik Sulaimah, 63 tahun, dalam memimpin pasukan Singapura diiktiraf Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Encik Chan Chun Sing, dan Duta Kelana Profesor Tommy Koh, yang memuji beliau sebagai antara perunding perdagangan terbaik Singapura.



Cik Sulaimah cepat berkongsi pengikirafan itu kepada pasukannya yang bekerja keras untuk merealisasikan pakatan itu.



Ditanya jika wanita mempunyai ciri menjadi perunding yang lebih baik, beliau berkata:



"Bagi setiap rundingan, kita perlu chemistry (keserasian) dan jalinan persahabatan. Mungkin wanita mempunyai kesabaran dan kuasa lebih lembut.''



Sifat wanita yang lebih menjurus ke arah kolaboratif (usaha bersama) juga membantu, katanya.



Tetapi, beliau menambah terdapat ramai pegawai lelaki yang mempunyai ciri itu yang menjadikan mereka perunding yang baik.



Lapan tahun bagi merundingkan pakatan itu membawa banyak perubahan. Ini termasuk berlangsungnya pilihan raya di beberapa negara berkenaan, pucuk pimpinan yang berubah, dan dasar yang berubah.



Pegawai perundingan juga berubah tetapi Cik Sulaimah merupakan satu-satunya dalam pasukan Singapura seramai 45-46 pegawai yang melibatkan diri dari awal hingga akhir.



Selama lapan tahun, pernahkah terlintas di fikirannya jika pakatan itu akal gagal?



Beliau berkata: "Saya seorang optimis.



"Saya pernah mengetuai FTA Asean-India yang mengambil masa 10 tahun daripada kehidupan saya... Saya berharap RCEP tidak melebihi 10 tahun.''



Sepanjang tempoh itu, banyak cabaran perlu diharungi antaranya termasuk keperluan merundingkan Asean sebagai satu blok dagangan dalam RCEP.



Ia kadangkala sukar kerana setiap negara mempunyai tahap perkembangan ekonomi, keperluan dan sensitivi yang berbeza, katanya.



Negara seperti Singapura mahukan RCEP itu melibatkan 100 peratus produk dagangan tetapi ada negara yang ingin mengecualikan dagangan produk yang sensitif seperti gula dan beras menyebabkan peratusannya dikurangkan sehingga 92 peratus.



Detik paling mengecewakan bagi beliau ialah ketika India menarik diri secara mengejut daripada RCEP.



"Kekecewaan paling mendalam ialah pada 2019 apabila 16 negara telah bekerja keras dan ingin membuat pengumuman bahawa kita telah selesai rundingan 20 bab (chapter).



"Saya masih ingat ia adalah semasa Puncak RCEP pada 4 November. Pada 3 November, kami bekerja bersengkang mata sepanjang malam termasuk para menteri bagi membuat persediaan sebelum pengumuman itu.



"Apabila Perdana Menteri India Narendra Modi menyatakan India tidak dapat menyertai perjanjian kerana ada bidang yang belum diatasi, perasaan saya menjadi beku.



"Ia amat mengejutkan dan mengecewakan,'' katanya sambil menambah bahawa tidak ada tanda-tanda India akan menarik diri kerana mereka masih terlibat dalam rundingan dalam saat-saat akhir.



Tanpa India, mereka teruskan rundingan sehingga ia dapat dimeterai.



RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dan paling menyeluruh di dunia dan merangkumi 30 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia.



Dengan RCEP, firma-firma hanya menggunakan satu undang-undang bagi menjalankan proses perkilangan jika ingin mengeksport ke 14 negara lain dan dapat meraih faedah daripada pengumpulan penggunaan asal (cumulation use of origin).



"Jika kita import daging kambing dan pes kari tetapi prosesnya dilakukan di Singapura sebelum ia eksport balik ke Jepun, produk dari Singapura masih dapat menikmati faedah yang Jepun berikan,'' ujarnya.



Beliau mengiktiraf usaha pasukannya yang terlibat dalam rundingan itu termasuk mantan menteri Lim Hng Kiang yang sehingga hari ini masih memberikan nasihat serta Encik Chan Chun Sing.



"Juga keluarga besar RCEP termasuk pasangan dan anak-anak kami yang merindui kami selama lapan tahun dan memberi sokongan kepada kami,'' tambah ibu dua anak itu.




"Bagi setiap rundingan, kita perlu chemistry (keserasian) dan jalinan persahabatan. Mungkin wanita mempunyai kesabaran dan kuasa lebih lembut... Saya seorang optimis. Saya pernah mengetuai FTA Asean-India yang mengambil masa 10 tahun dari kehidupan saya... Saya berharap RCEP tidak melebihi 10 tahun."
- Cik Sulaimah Mahmood, Ketua Perunding Singapura bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) ) yang ditandatangani baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >