PERDANA Menteri Lee Hsien Loong tiba di Jakarta pada Sabtu (24 April) untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asean bagi membincangkan situasi di Myanmar.
Ini merupakan pertemuan Asean secara bersemuka yang pertama sejak penularan pandemik Covid-19.
Mesyuarat itu dianjurkan Brunei selaku Pengerusi Asean tahun ini, dan akan diadakan di Sekretariat Asean di Jakarta, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada Jumaat (23 April).
“Pemimpin dan wakil anggota negara Asean dijangka menghadiri mesyuarat itu.
“Pemimpin Asean akan membincangkan situasi di Myanmar, yang telah mempunyai kesan serius kepada keamanan dan kestabilan Asean dan di rantau ini,” kata MFA.
Singapura sebelum ini telah melahirkan keprihatinan mengenai pergolakan di Myanmar, dan telah menggesa negara itu untuk menghentikan penggunaan kekerasan yang membawa maut kepada orang awam.