PERDANA Menteri Australia, Encik Scott Morrison, akan melawat Singapura pada Khamis (10 Jun) dan bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi membincangkan tentang kerjasama dua hala, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Rabu (9 Jun).
Dua pemimpin ini akan bertemu di Istana disusuli dengan sidang media bersama secara maya, tambah MFA.
Ini adalah pertemuan empat mata kali pertama antara Encik Lee dan Encik Morrison dalam tempoh lebih setahun.
Di bawah Kerjasama Strategik Menyeluruh Singapura-Australia (CSP), perdana menteri di kedua-dua negara bertemu setiap tahun tetapi mesyuarat terakhir diadakan secara maya pada Mac tahun lalu kerana pandemik Covid-19.
Encik Lee kemudian merancang melawat ibu kota Australia, Canberra, bagi membalas kunjungan Encik Morrison pada Jun 2019.
Kedua-dua pemimpin, antara lain, dijangka membincangkan keadaan pandemik koronavirus.
Perjanjian dua hala yang penting antara kedua-dua negara akan juga dimeterai dalam lawatan kali ini.
Singapura dan Australia menandatangani perjanjian CSP pada 2015, antara lain, bagi mendalami kerjasama dalam perdagangan, pertahanan dan hubungan sesama manusia.
Ia juga menyediakan ruang bagi perdana menteri kedua-dua negara bertemu secara tahunan dalam membincangkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
Sewaktu mesyuarat maya antara Encik Lee dan Encik Morrison berjalan pada Mac lalu, dua negara ini menandatangani kerjasama ekonomi digital bagi membangun rangka kerja buat kedua-dua negara bekerjasama secara lebih rapat lagi dalam bidang seperti identiti digital dan e-bayaran agar dapat mencorak undang-undang antarabangsa serta membincangkan isu yang wujud daripada teknologi baru ini.
Perjanjian juga dimeterai bagi menggalak kerjasama dua hala dalam bidang lain termasuk pertahanan dan inovasi data.
Kedua-dua pemimpin juga menegaskan lagi akan hubungan dua hala yang cemerlang antara Singapura dengan Australia dengan mengatakan kemajuan yang baik dibuat dalam bidang kerjasama yang luas sejak kedua-duanya menandatangani CSP.
Encik Morrrison singgah ke Singapura pada Khamis dalam perjalanan ke sidang puncak negara Kumpulan Tujuh (G-7) di Britain, di mana beliau dijangka bertemu empat mata dalam mesyuarat bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.