Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

PM: Hari-hari mendatang genting dalam usaha tangani Covid-19

Lagi 942 kes jangkitan Covid-19 disahkan di Singapura, tertinggi sejauh ini
Apr 19, 2020 | 05:30 AM

BEBERAPA hari akan datang merupakan tempoh genting dalam usaha Singapura memerangi penularan wabak Covid-19, tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Kita semua perlu memain peranan, demi menewaskan Covid-19," kata Encik Lee.

Menulis di Facebook petang semalam pada hari ke-12 tempoh pemutus rantaian jangkitan 28-hari di Singapura, Encik Lee berkata terdapat tanda awal bahawa langkah lebih ketat untuk mengurangkan interaksi fizikal antara warga telah membantu dalam mengurangkan jumlah kes dalam masyarakat.

Jumlah kes tempatan terus menurun dengan 14 rakyat Singapura dan penduduk tetap, di antara kes yang dicatatkan semalam.

Bagaimanapun, Encik Lee melahirkan kebimbangan berhubung kes yang masih belum dikesan dalam masyarakat.

"Kita masih bimbang dengan kes yang masih tersembunyi dan menular dalam kalangan penduduk di Singapura, yang menyebabkan penularan ini berterusan," katanya.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata terdapat lagi 942 kes jangkitan Covid-19 di Singapura, dengan sebahagian besar merupakan pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Berhubung bilangan kes pekerja asing yang tinggal di asrama yang kian meningkat, Encik Lee berkata pekerja asing yang dijangkiti sedang mendapat rawatan perubatan yang mereka perlukan. Mujur, kebanyakan kes adalah ringan kerana pekerja yang dijangkiti itu masih muda.

Beliau menambah pasukan jagaan kesihatan akan terus memantau keadaan mereka.

"Kami sedang berusaha memutuskan rantaian jangkitan penularan dalam asrama untuk mengurangkan bilangan kes baru. Ia memakan masa sebelum kita dapat melihat perubahan, justeru kita perlu menjangkakan jumlah kes di asrama terus bertambah," ujarnya.

Bagaimanapun Encik Lee berkata pemerintah sedang membangunkan kemudahan pengasingan dan jagaan kesihatan untuk menangani bilangan kes yang bertambah itu.

Dalam pada itu, sokongan kepada pekerja asing di sini berterusan dengan hampir, 10,600 pekerja sedemikian menerima bantuan dalam bentuk pek penjagaan.

Pek mengandungi pelitup muka, sanitiser tangan, sabun dan sabun pencuci baju adalah sebahagian usaha Pusat Pekerja Asing (MWC) memberi sokongan kepada pekerja yang tinggal di kilang yang diubah menjadi dormitori.

Dalam catatannya di Facebook, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng berkata gerakan buruh akan terus menggandakan usaha membantu pekerja asing di kemudahan penginapan lebih kecil selain menyokong pemerintah dalam membantu mereka yang tinggal di dormitori khas.

"Bagi pekerja ini, kami mahu memberi jaminan bahawa gerakan buruh akan melakukan sedaya mungkin untuk menjaga kesihatan dan memelihara kesejahteraan mereka," ujar beliau.


"Kami sedang berusaha memutuskan rantaian jangkitan penularan dalam asrama untuk mengurangkan bilangan kes baru. Ia memakan masa sebelum kita dapat melihat perubahan, justeru kita perlu menjangkakan jumlah kes di asrama terus bertambah."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong.


GESA SEMUA DUDUK RUMAH, JIKA PERLU KELUAR GUNA PELITUP DAN PATUHI LANGKAH JARAK SELAMAT

"Kita kini memasuki minggu kedua pemutus rangkaian jangkitan. Ini adalah masa-masa mencabar, namun saya menggesa semua agar duduk di rumah seberapa banyak mungkin untuk melindungi diri kita dan mereka yang kita sayangi. Jika anda perlu keluar rumah, jangan lupa pakai pelitup muka dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat."
- Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Menulis di Facebook, beliau juga menyifatkan 12 laporan polis yang dibuat ke atas mereka yang melakukan kekerasan ke atas Pegawai Penguat Kuasa dan Duta Jarak Selamat sebagai mengecewakan.


Laporan lanjut : Pesalah guna kekerasan ke atas Duta Jarak Selamat didakwa


942 KES BARU COVID-19 DI S'PURA

Jumlah kes keseluruhan: 5,992

Maklumat terkini di www.beritaharian.sg

Nota: Dapatkan laporan terkini mengenai Covid-19 dalam bahasa Melayu dengan mendaftar di saluran WhatsApp pemerintah.

Anda boleh mendaftar menerusi pautan bit.ly/WAGovSG dan pilih bahasa yang diinginkan.

 

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian