PM Lee beri perincian 'membimbangkan' bagaimana wasiat LKY dilaksana

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong menimbulkan soalan-soalan serius berkaitan cara wasiat bapanya, mendiang Lee Kuan Yew, disiapkan dan sama ada terdapat konflik kepentingan apabila adik iparnya, Lee Suet Fern, membantu menyiapkan wasiat tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan peguamnya dari firma Drew and Napier malam Khamis (15 Jun), PM Lee memberi perincian yang disifatkannya sebagai "amat membimbangkan" berhubung versi ketujuh dan terakhit wasiat itu, dan berkata beliau "amat prihatin" mengenai sama ada mendiang Lee telah dinasihati dengan betul dan secara bebas tentang kandungannya sebelum wasiat itu ditandatangani.

Kenyataan lima halaman PM Lee, yang turut dimuat naik ke Facebook, memberi perincian mengenai perbalahan berpanjangan dengan adik-adikya, Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang, mengenai langkah merobohkan rumah bapa mereka di 38, Oxley Road.

Antaranya, PM Lee menimbulkan keraguan jika Encik Lee Kuan Yew tahu bahawa klausa untuk merobohkan rumah tersebut diperkenalkan semula dalam wasiat terakhir. Beliau menerangkan klausa itu pertama kali diperkenalkan dalam wasiat pertama bapanya bertarikh 20 Ogos 2011.

Ia kemudian dikeluarkan dalam versi lima dan keenam wasiat itu, namun kurang pasti bagaimana ia diperkenalkan semula dalam wasiat terakhir, kata PM.

PM Lee menerangkan, perbalahan keluarga itu timbul apabila wasiat terakhir dibaca pada 12 April 2015. Encik Lee Hsien Yang menegaskan beberapa kali untuk merobohkan rumah itu serta merta dan perbincangan berakhir hanya apabila Dr Lee berkata beliau ingin terus tinggal di rumah tersebut.

Perdana Menteri menceritakan semasa pembacaan wasiat itu, Cik Lee Suet Fern, berkata Encik Lee Kuan Yew telah memintanya untuk menyiapkan wasiat terakhir itu, namun beliau telah mendapatkan peguam dari firma guamannya, Stamford Law Corporation, untuk melakukannya kerana beliau enggan terlibat secara peribadi.

Beliau kemudian mendapat tahu, Cik Lee telah mengirimkan e-mel kepada Encik Lee Kuan Yew pada 16 Disember, 2013 mengenai wasiat ketujuh itu, yang akan memberikan ketiga-tiga anak pembahagian yang sama dalam estet tersebut. Wasiat ke-enam telah memberikan Dr Lee pembahagian tambahan,

PM berkata, Cik Lee membantu menyiapkan wasiat baru itu pada hari yang sama, dan menghantar dua peguam ke 38, Oxley Road pada 17 Disember untuk mendapatkan tandatangan Encik Lee Kuan Yew.

Menurutnya, dua peguam itu hanya berada di rumah tersebut selama 15 minit. "Mereka hanya datang sebagai saksi kepada Encik Lee menandatangani wasiat terakhir itu dan bukan untuk memberinya nasihat," ujar beliau.

Tiada bukti bahawa Encik Lee Kuan Yew tahu mengenai klausa merobohkan rumahnya itu dimasukkan semula dalam wasiat terakhir, kata PM Lee. Beliau juga menimbulkan keprihatinan mengenai penglibatan Cik Lee dalam proses menyiapkan dan menandatangani wasiat terakhir itu apabila suaminya akan meraih keuntungan setelah pembahagian tambahan bagi Dr Lee dikeluarkan.

Mengulas mengapa beliau tidak mencabar kesahihan wasiat terakhir itu di mahkamah, PM Lee berkata beliau tidak mahu pertikaian itu diketahui umum kerana ia akan mencemari nama baik dan reputasi Encik Lee Kuan Yew serta keluarganya.

Menyusuli kenyataan Encik Lee itu, adik-adiknya menyangkal kenyataan tersebut menerusi beberapa catatan Facebook.

Encik Lee Hsien Yang menekankan bahawa wasiat terakhir itu adalah sah sambil menambah: "Hsien Loong tidak harus menggunakan sebuah jawatankuasa yang terdiri dari orang bawahannya untuk mendakwa sesuatu yang beliau tidak berani dakwa di mahkamah."

 Namun, Encik Lee berkata soalan harus ditimbulkan berkaitan keadaan yang menyelubungi wasiat terakhir itu.

"Saya yakin ia adalah perlu untuk meneliti keadaan melebihi wasiat terakhir itu untuk memastikan pemikiran dan kemahuan Encik Lee Kuan Yew berkaitan rumah tersebut."