Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

AMANAT TAHUN BARU

PM Lee: Bersatu padu atasi cabaran, bina pencapaian

* Ekonomi S'pura berkembang, pengangguran kekal rendah dan pendapatan telah meningkat secara keseluruhannya 
* Pemerintah sedang meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan awam
Jan 01, 2019 | 05:30 AM



"2018 adalah tahun yang produktif bagi Singapura. Ekonomi kita berkembang mantap pada 3.3 peratus - hampir sama dengan 2017 dan melebihi jangkaan kita.



Kita menjangkakan meraih pertumbuhan 1.5-3.5 peratus tahun depan tetapi terdapat ketidaktentuan utama dalam ekonomi global, dengan konflik perdagangan yang semakin meningkat, pasaran kewangan yang gentar dan tanda-tanda pertumbuhan yang lembap.



SINGAPURA DI PENTAS ANTARABANGSA



Di peringkat luaran, 2018 penuh dengan peristiwa penting.



Diplomat dan para pegawai kita sibuk mengibarkan bendera kita dengan memainkan peranan di persada antarabangsa. Pada Jun lalu, kita menganjurkan sidang puncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Pengerusi DPRK (Korea Utara) Kim Jong Un. Tahun ini, Singapura juga mempengerusikan Asean.



Dengan tema "Inovasi dan Daya Tahan", kita melancarkan inisiatif praktikal untuk meningkatkan kestabilan dan integrasi serantau.



Kita memperkukuh kerjasama keselamatan siber dan membentuk sebuah Rangkaian Bandar Pintar Asean untuk mewujudkan wadah baru untuk menjalin kerjasama dengan rakan-rakan kongsi kita.



Tetapi arus geopolitik terus menderu.



Hubungan antara Amerika dengan China terus menimbulkan kebimbangan. Ketegangan ini akan menimbulkan masalah kepada dunia dan menjadikan negara-negara lebih sukar untuk bersahabat dengan kedua-duanya. Sekiranya negara-negara terpaksa membuat pilihan, aturan global yang terbuka dan berhubung akan menimbulkan lebih jurang, lantas menjejas satu dan semua.



Berdekatan, kita sedang menguruskan hubungan dengan jiran-jiran terdekat kita.



Hubungan dengan Indonesia adalah positif, dengan adanya kerjasama dan pelaburan besar dua hala.



Malaysia pula membentuk kerajaan baru menyusuli pilihan raya umum dalam Mei.



Kita berharap untuk memelihara jalinan kerjasama yang membina dengan Malaysia, dan menaruh harapan bahawa barisan pemimpin baru kedua-dua negara dapat saling memupuk hubungan kerja yang baik.



Namun, baru-baru ini timbul beberapa isu di antara kedua-dua pihak.



Ini sememangnya perkara lumrah, antara dua jiran rapat yang terikat erat oleh sejarah, ekonomi, budaya dan ikatan kekeluargaan.



Apabila Malaysia ingin menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Singapura memberikan kerjasama untuk memenuhi keperluan mereka.



Namun, pertikaian terbaru berhubung dengan sempadan maritim, menyusuli pencerobohan provokatif ke dalam perairan kita, serta isu ruang udara, khususnya peraturan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, adalah lebih rumit untuk dihuraikan.



Malaysia juga ingin menyemak harga bekalan air dari Johor, satu isu lama yang tercetus semula baru-baru ini.



Mengenai hal ini, pendirian Singapura adalah agak jelas.



Kita akan menangani kesemua perkara ini secara tenang dan membina.



Singapura dan Malaysia perlu menangani masalah-masalah khusus, serumit mana pun masalah itu.



Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga ingin memelihara keseluruhan hubungan.



Caranya ialah dengan kesaksamaan dan saling hormat-menghormati, dengan berpegang teguh pada komitmen dan undang-undang antarabangsa.



Warga Singapura yang lebih tua tentunya masih ingat bahawa dengan cara demikianlah kita telah dapat menangani kegencotan dalam hubungan dua hala sebelum ini.



Setiap kali ia tercetus, kita akan bersatu padu sebagai satu rakyat, dan berdiri teguh tetapi tenang.



Kali ini juga, saya yakin bahawa warga Singapura akan bekerja rapat secara bersama untuk memelihara hubungan yang mantap dengan Malaysia.



Satu generasi baru akan mempelajari cara dan langkah kita berganding bahu melindungi kepentingan kita.



Ini dilakukan sedang kita hidup secara aman dan bersahabatan dengan jiran-jiran kita.



DI PERINGKAT DOMESTIK



Di peringkat domestik, kita sedang membuat kemajuan.



Di banyak negara, masyarakat hidup tertekan. Orang ramai marah dan kecewa kerana gaji tidak berubah, kehidupan tidak bertambah baik dan sistem politik tidak berfungsi.



Bantahan oleh kumpulan gilet jaunes atau 'jaket kuning' di Perancis adalah manifestasi terkini keresahan sedemikian. Keresahan serupa telah meletus di tempat lain seperti isu Brexit di United Kingdom atau kehilangan sokongan drastik bagi para pemimpin politik berpendirian sederhana di Amerika Syarikat dan Jerman.



Sebagai sebuah masyarakat yang amat terbuka, Singapura terdedah kepada tekanan yang sama. Tetapi kita menanganinya dengan lebih baik berbanding kebanyakan negara lain kerana kita bekerja erat bersama bagi membaiki kehidupan semua rakyat Singapura.



Ekonomi kita telah berkembang, pengangguran kekal rendah dan pendapatan telah meningkat secara keseluruhannya. Kita telah mewujudkan pekerjaan yang baik dan mempersiap rakyat kita menerusi pendidikan dan SkillsFuture. Yang penting, pemerintah bertekad untuk menangani kebimbangan orang ramai dan berusaha demi esok yang lebih baik untuk semua.



Kita sedang meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan awam.



Kita juga memastikan penjagaan kesihatan bermutu yang dimampui dan boleh diakses, serta membina lebih banyak poliklinik dan hospital di seluruh pulau. Yang terbaru - Hospital Besar dan Komuniti Sengkang - mula menerima pesakit pada Ogos lalu.



Penambahbaikan kepada Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) dan CareShield Life bakal meningkatkan sokongan yang lebih baik kepada warga yang menghidap penyakit kronik dan hilang keupayaan. Dan juga Generasi Merdeka yang dilahirkan pada 1950-an boleh menaruh harapan untuk menerima pakej manfaat kesihatan tidak lama lagi, seperti Generasi Perintis sebelum ini.



Sistem pendidikan kita dikagumi di peringkat antarabangsa tetapi kita akan terus memperbaikinya untuk membantu pelajar mengenal pasti dan memupuk kekuatan dan bakat masing-masing. Kita sedang mengurangkan fokus terhadap peperiksaan dan gred akademik dan sebaliknya menekankan pembangunan menyeluruh.



Kita membuat pelaburan besar di peringkat prasekolah, meningkatkan kualiti guru menerusi Institut Pembangunan Pendidikan Awal Nasional dan membina lebih banyak pusat prasekolah untuk memberi kanak-kanak permulaan baik dalam kehidupan. Kita juga telah meningkatkan subsidi prasekolah untuk meringankan beban kepada orang tua membesarkan anak- anak.



Kita juga sedang membina semula perumahan dan prasarana kita bagi 50 tahun yang akan datang. HDB sedang melaksanakan beberapa program - Program Peningkatan Rumah (HIP) yang diperluas, HIP II dan Skim Pembangunan Semula Awal Sukarela (Vers) - untuk menaik taraf dan memperbaharui flat-flat HDB dan estet-estet perumahan.



Ini akan memastikan flat HDB terus menjadi rumah yang berkualiti dan mempunyai nilai yang baik untuk persaraan.



Rakyat Singapura boleh mengharapkan untuk tinggal di kawasan kejiranan yang bertenaga dan dinamik dengan campuran penduduk lama dan muda dan semangat kemasyarakatan yang kukuh. Satu projek sedemikian ialah Kampung Admiralty, yang baru-baru ini menerima anugerah Bangunan Dunia 2018 di Festival Seni Bina Dunia, satu pencapaian yang tinggi.



Hasil kerja keras kita ke atas sistem pengangkutan awam nampak berbaloi.



Bas dan kereta api kian kurang padat dan berjalan dengan lebih teratur. Kereta api baru untuk laluan MRT Thomson-East Coast (TEL) telah pun tiba, tepat pada masanya untuk pembukaan tahap pertama TEL di Woodlands pada 2019.



Kita akan mengadakan rundingan awam bagi pelan induk jangka panjang pengangkutan darat untuk 2040. Sementara itu, kerja-kerja di Tuas MegaPort dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi berjalan rancak dan Jewel akan dibuka pada 2019 untuk dinikmati semua.



PERALIHAN KEPIMPINAN 4G



Ini adalah pelaburan penting buat masa depan kita. Untuk merealisasikan rancangan berani ini, Singapura memerlukan pemimpin yang mantap dan berkebolehan, yang boleh merangsang warga Singapura untuk maju dan makmur bersama.



Pada 2018, kita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penggantian pucuk pimpinan. Pada Mei, Parlimen dibuka semula selepas rombakan Kabinet. Penjawat politik yang lebih muda didedahkan kepada tanggungjawab yang berbeza dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan.



Mereka telah memilih Heng Swee Keat sebagai pemimpin mereka dan menyokong pilihan Swee Keat iaitu Chan Chun Sing sebagai timbalannya.



Ini adalah hasil yang baik. Ia memberi warga Singapura dan warga asing keyakinan bahawa Singapura berada dalam keadaan baik pada jangka panjang, melepasi kehidupan kerjaya saya dan rakan-rakan saya yang lebih lama.



Menteri-menteri yang lama dan saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu pasukan baru mengambil alih tampuk dari kami dan berjaya dalam menggalas tanggungjawab memimpin Singapura dan menjamin masa depannya.



Rakyat Singapura memainkan peranan penting dalam tempoh peralihan ini. Saya mohon agar anda bekerja rapat dengan pemimpin politik yang lebih muda untuk membentuk pasukan terbaik bagi Singapura.



Model tadbir urus kita agak luar biasa dan telah memanfaatkan kita. Ia telah membolehkan Singapura memanfaatkan sepenuhnya apa yang kita ada dan menonjol dalam dunia yang penuh persaingan sengit. Politik Singapura tidak mampu dipecahbelahkan oleh para pesaingnya, pihak-pihak yang cuba beradu dan puak- puak yang sering dilihat di tempat lain. Sebaliknya, rakyat Singapura mesti bersatu padu dan bahu membahu de ngan tegas untuk memperkuat dan memperbaharui kompak sosial kita.



Dengan dasar jangka panjang dan pasukan yang kuat, kita ada sebab untuk yakin terhadap masa depan kita. Di sebalik persekitaran luar dan prospek ekonomi global yang tidak menentu, kita memasuki ulang tahun ke-200 kita dengan memperbaharui semangat dan tujuan. Kita sedia untuk menangani cabaran-cabaran di hadapan dan mencapai kemajuan selanjutnya dalam membina negara yang selamat, harmoni, dan makmur.



Selamat Tahun Baru."




"Kita akan menangani kesemua perkara ini secara tenang dan membina. Singapura dan Malaysia perlu menangani masalah-masalah khusus, serumit mana pun masalah itu. Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga ingin memelihara keseluruhan hubungan. Caranya ialah dengan kesaksamaan dan saling hormat-menghormati, dengan berpegang teguh pada komitmen dan undang-undang antarabangsa."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong




"Dengan dasar jangka panjang dan pasukan yang kuat, kita ada sebab untuk yakin terhadap masa depan kita. Di sebalik persekitaran luar dan prospek ekonomi global yang tidak menentu, kita memasuki ulang tahun ke-200 kita dengan memperbaharui semangat dan tujuan. Kita sedia untuk menangani cabaran-cabaran di hadapan dan mencapai kemajuan selanjutnya dalam membina negara yang selamat, harmoni, dan makmur."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >