PERDANA Menteri Lee Hsien Loong akan memberikan ucapan kepada rakyat Singapura mengenai pendekatan negara ini dalam menangani Covid-19 yang bakal ditayangkan secara langsung pada Isnin (31 Mei).
Ucapan tersebut akan ditayangkan pada 4 petang di laman Facebook Encik Lee dan saluran televisyen tempatan.
Encik Lee berkata demikian dalam satu catatannya di Facebook pada Ahad (30 Mei).
“Jumlah kes baru dalam masyarakat baru kian stabil sejak dua minggu terakhir. Langkah pengurusan yang diperketat kami untuk memastikan warga Singapura selamat telah menunjukkan hasilnya,” kata Encik Lee sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana mematuhi garis panduan dan kekal duduk di rumah sepanjang tempoh ini.
Menurut Encik Lee lagi, beliau ingin berkongsi bagaimana pemerintah merancang untuk memastikan Covid-19 dapat dikawal, dan dalam masa yang sama secara progresif membuka semula ekonomi negara.
“Penyelesaiannya: menjalankan ujian, melakukan jejak kontak, dan vaksinasi, dengan lebih pantas dan banyak lagi. Juga: Seperti apakah keadaan norma baru?,” tulis Encik Lee lagi.
Sejak beberapa minggu yang lalu, Singapura menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan susulan itu telah mengumumkan sekatan yang diperketat bagi perhimpunan sosial dan kegiatan awam.