Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Buka lembaran dan kemungkinan baru bagi S'pura

May 02, 2018 | 05:30 AM



GENERASI baru rakyat Singapura memikul tanggungjawab memperbaharui negara ini sambil mendukung nilai yang telah menyumbang kepada kejayaannya selama ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.



"Apakah tanggungjawab generasi warga Singapura ini? Ia adalah untuk memperbaharui Singapura - membuka babak baru, mewujudkan kemungkinan dan pencapaian baru bagi negara kita," ujar PM Lee.



Ini harus dilakukan dengan berpegang kepada nilai yang menjadikan Singapura berjaya - naluri untuk merancang bagi masa depan, dorongan untuk melakukan lebih baik, semangat perjuangan dan rasa bertanggungjawab untuk generasi depan.



Beliau berkata demikian semasa berucap di acara tahunan Rapat Hari Pekerja di D'Marquee Downtown East semalam yang dihadiri sekitar 1,600 anggota kesatuan, majikan, pekerja, aktivis dan anggota Kabinet.



Dalam ucapannya, Encik Lee menggesa pekerja dan perniagaan agar terus meningkatkan diri dan berubah, demi mengekalkan kemajuan yang telah dicapai selama ini daripada usaha membentuk semula ekonomi.



Ekonomi tahun ini diramal tumbuh antara 1.5 peratus dan 3.5 peratus. Namun, ini bergantung pada sekitaran luaran.



Meskipun ekonomi utama Amerika Syarikat, Eropah dan China sedang menunjukkan prestasi baik, kelemahan mungkin muncul dan sudah ada ketegangan yang mengeruhkan prospek ekonomi global, katanya.



Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China telah mencetuskan kebimbangan mengenai perang perdagangan, dan sudah menjejas perniagaan di Singapura.



Amerika telah mengenakan tarif ke atas import panel solar, keluli dan aluminium, dan meletakkan tarif ke atas produk China bernilai AS$50 bilion ($66.3 bilion) secara sehala atau unilateral tanpa melalui saluran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kata Encik Lee.



China telah berkata ia tidak mahu bertelingkah dalam hal itu, tetapi China juga bersedia untuk terus bertindak balas meskipun keadaan menjadi lebih teruk.



Malah, China telah memberi respons dengan memadankan tarif ke atas produk China.



"Singapura akan mengalami kerosakan kolateral meskipun kita tidak terlibat dalam konflik ini," kata PM Lee.



Sebagai contoh, cukai Amerika ke atas panel solar, keluli dan aluminium, serta cukai China ke atas getah sintetik menjejas eksport Singapura juga.



Malah, tarif sehala juga menjejas sistem perdagangan terbuka dan pelbagai hala yang mengenakan peraturan ke atas negara besar dan kecil, bagi memastikan perdagangan dunia yang bebas, adil dan teratur, katanya.



"Dalam dunia di mana peraturan tidak diikuti, semua negara akan menderita, tetapi negara kecil seperti kita akan terjejas teruk," katanya.



Ketegangan perdagangan antara Amerika dengan China juga boleh membawa kepada pergolakan lebih serius yang memaksa negara lain menyebelahi sebuah pihak, sekaligus menjejas kestabilan dan keselamatan dunia, kata Encik Lee.



Beliau memberi amaran bahawa apa yang dipertaruhkan bukan sekadar perdagangan, bahkan perang dan keamanan.



Bagaimanapun, trend tersebut akan mengambil masa untuk mendatangkan kesan.



Oleh itu, ekonomi Singapura dijangka terus tumbuh baik buat masa ini.



"Tidak kira apa yang berlaku di luar Singapura, kita tahu apa yang perlu kita lakukan di dalam negara: kita mesti mengukuhkan ekonomi kita," ujar PM Lee.



Ini bermakna pemerintah perlu terus bergabung tenaga dengan perniagaan dan gerakan buruh, untuk membantu syarikat mengubah dan menyesuaikan diri, dan melatih semula pekerja agar merebut peluang pekerjaan pada masa depan.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >