COVID-19 menekankan betapa pentingnya gerakan buruh yang kuat sedang pandemik itu melenyapkan pekerjaan dan menyebabkan jutaan pengangguran di merata dunia, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Menurut Encik Lee, usaha Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sepanjang pandemik itu telah membantu mengurangkan kesan ke atas pekerjaan, meskipun pandemik ini adalah lebih buruk daripada krisis sebelumnya.
Beliau juga berkata Singapura harus memperketat langkah menentang Covid-19 dengan segera jika perlu, bagi menyekat penyebaran kelompok jangkitan baru dan mengelak pemutus litar kedua.
Dengan kemunculan jenis Covid-19 baru, keadaan di Singapura boleh memburuk dengan cepat, kata beliau dalam ucapannya di Rapat Hari Pekerja yang dianjurkan secara hibrid di Downtown East, D'Marquee semalam.
Lantaran itu, Encik Lee berharap rakyat akan bekerjasama dengan pemerintah untuk melawan virus itu dan tidak leka dalam usaha tersebut.
"Usah melakukan kesilapan yang dibuat negara lain, berseronok terlalu awal, relaks terlalu awal, menjadi leka dan menyebabkan gelombang kedua, yang lazimnya lebih teruk daripada pertama dan lebih banyak langkah mendadak yang tidak menyenangkan akan menjadi perlu.
"Sekiranya kita harus melakukan sekatan lagi seperti pemutus litar tahun lalu, itu akan menjadi cabaran besar bagi rakyat kita dan pemulihan ekonomi kita. Jangan biarkan ia berlaku," tekan beliau.
Encik Lee menarik perhatian, Singapura mampu mencapai pertumbuhan 6 peratus atau lebih baik tahun ini, memandangkan kemelesetan global tidak seteruk dijangka.
Tetapi ini akan hanya membawa Singapura kembali kepada kedudukan sebelum pandemik dan beberapa sektor seperti penerbangan, pelancongan dan binaan, belum pulih.
Justeru, pekerja setempat perlu merebut peluang baru dan persiapkan diri untuk kehidupan pasca-Covid-19 menerusi peningkatan kemahiran dan latihan, tekan Encik Lee.
Dalam ucapannya itu, Encik Lee turut memuji usaha NTUC dan sumbangan pekerja yang membantu mengawal Covid-19 di negara ini.
Katanya, rakan kerjasama tiga pihak telah mengharungi banyak krisis dan kemelesetan bersama, sekurang-kurangnya sekali dalam dekad - seperti Krisis Kewangan Asia dan SARS.
Komitmen NTUC terhadap misinya benar-benar diuji dalam pandemik ini dan ia telah cemerlang menjalankan peranannya.
"Disebabkan usaha anda, walaupun kelembapan ini adalah lebih buruk daripada sebelumnya, pengambilan pekerja setempat kita tidak menjunam. Ia susut sedikit dan pengangguran naik. Tetapi kini sudah meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya," ujar Encik Lee sambil mengucapkan terima kasih kepada para ketua kesatuan di atas semangat kental mereka.
Beliau turut memuji sumbangan dan pengorbanan pekerja setempat.
Misalnya, pekerja jagaan kesihatan di barisan hadapan yang menguji, merawat pesakit dan memberi vaksin, telah bersedia menyumbang untuk memastikan keselamatan orang ramai.
Pekerja penerbangan pula yang pendapatan mereka terjejas teruk turut menyertai barisan hadapan sebagai antaranya, duta jagaan pesakit, kata Encik Lee.
Beliau juga menggesa agar terus memastikan keselamatan pekerja dalam sektor binaan, yang turut mengalami kesan Covid-19.
Kini sektor itu berdepan dengan cabaran tenaga kerja ekoran daripada larangan terhadap pelawat dari India dan menyebabkan banyak projek tertangguh dan kos meningkat.
Maka itu, ujar Encik Lee, pemerintah sedang mengusahakan "penggubalan darurat bagi mengatasi gangguan teruk ini dan berkongsi bebanan dengan lebih adil di antara pelbagai pihak" - khususnya kontraktor, pemaju dan pembeli.
"Kami akan perkenalkan penggubalan itu, saya harap, dalam sidang Parlimen seterusnya," tambah Encik Lee.
Laporan lanjut : Pemerintah akan umum lebih banyak usaha bantu golongan bergaji rendah