CALON Melayu/Islam yang akan ditandingkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum setaraf dengan calon bangsa lain dari segi bakat dan kebolehan.
Ini dinyatakan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
"Kali ini... ada beberapa calon Melayu dan saya fikir (mereka) akan meyakinkan masyarakat Singapura bahawa dalam PAP ada calon Melayu yang sama tarafnya dengan calon kita yang lain," ujar Encik Lee.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media di majlis perjumpaan Hari Raya yang dihos Dr Yaacob dan Anggota Parlimen (AP) Melayu Pemerintah lain malam tadi (31 Julai).
Diminta mengulas tentang kenyataan Encik Lee, Dr Yaacob berkata:
"Sudah tentu mereka sama berkebolehan dan berbakat, dan patutnya memang begitu."
Tambahnya, kini terdapat lebih ramai bakat Melayu/Islam yang berpotensi dipertandingkan sebagai calon PAP.
"Lebih penting lagi, ada lelaki dan wanita berbakat yang sudah bersedia tampil untuk berkhidmat dan ini satu petanda yang baik untuk kami.
"Saya gembira dengan pasukan ini dan kami akan beritahu anda siapa mereka nanti," ujar Dr Yaacob.