DIPLOMAT mapan dan mantan ketua Persatuan Rakyat (PA), mendiang Lee Chiong Giam, seorang pemimpin tidak kenal penat lelah yang memimpin banyak inisiatif negara yang memperbaiki kehidupan dan mengeratkan lagi masyarakat Singapura. Mendiang meninggal dunia Rabu lalu pada usia 79 tahun, setelah koma dua minggu selepas terjatuh.
Dalam surat takziah kepada isteri mendiang, Cik Png Geok Lan, semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata mendiang daripada generasi penjawat awam pertama yang berkhidmat kepada Singapura dengan cemerlang. Encik Lee berkata beliau sedih akan pemergian mendiang.
"Beliau memasuki perkhidmatan pada 1967, tidak lama selepas kemerdekaan. Sedang beliau menaiki tangga kerjaya, beliau memegang pelbagai jawatan, termasuk di Kementerian Ehwal Luar (MFA), tempat beliau berusaha meluaskan jejak ekonomi dan diplomatik sebuah negara muda," tulis Encik Lee.
Pada 1982, mendiang dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif PA dan memegang jawatan itu 17 tahun. Encik Lee berkata mendiang membawa PA mengharungi tempoh pertumbuhan ekonomi pesat Singapura dan menyokong pemerintah mengukuhkan dasar sosial serta prasarana masyarakat.
Semasa tempoh itu, Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) dan Jawatankuasa Penduduk (RC) disatukan di bawah PA. Bagi mengukuhkan lagi ikatan masyarakat, mendiang membentuk Jawatankuasa Kejiranan (NC) bagi estet privet dan membantu membentuk Majlis Pembangunan Masyarakat.
Di bawah kepimpinannya juga, PA membentuk Kumpulan Kegiatan India dan Melayu, dan menubuhkan Pusat Khidmat Sosial Bersama (kini OnePeople.SG) bagi menempatkan kumpulan bantu diri di premis PA, demi menggalak keharmonian kaum dan perpaduan sosial. Mendiang juga memupuk bakat tempatan menerusi kumpulan budaya dan seni PA.
"Setelah mengundurkan diri daripada PA, Chiong Giam kembali secara rasmi ke Kementerian Ehwal Luar, walaupun beliau tidak pernah meninggalkannya. Bahkan ketika di PA, beliau pada masa sama merupakan Pesuruhjaya Tinggi Tidak Bermastautin (NRHC) ke Papua New Guinea.
"Chiong Giam kemudian dilantik sebagai NRHC ke Fiji dan Pakistan, dan Duta Tidak Bermastautin ke Timor-Leste. Sebagai Timbalan Setiausaha MFA, Chiong Giam memantau usaha menggalak negara-negara menyambung semula perjalanan dari Singapura selepas SARS pada 2003. Hari ini, sedang kita pulih daripada Covid-19 dan membuka semula sempadan, kita mengambil panduan daripada pengalaman itu," ujar Encik Lee.
Beliau menambah bahawa mendiang diingati bukan bagi dedikasinya kepada Singapura dan perkhidmatan awam saja, bahkan sifat rendah hati dan baik hatinya.