Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Jururawat Muslim dibenar pakai tudung mulai Nov

Aug 30, 2021 | 05:30 AM



  • Turut hargai pengorbanan rakyat, barisan depan dalam usaha perangi Covid-19

  • Terima saranan perluas Gaji Progresif kepada lebih banyak pekerja

  • Umum rang pelihara keharmonian kaum

MULAI November ini, jururawat Muslim di sektor kesihatan awam akan dibenarkan memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu.



Mengumumkan demikian di Rapat Hari Kebangsaan malam tadi, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata langkah itu adalah satu pengubahsuaian yang dibuat secara berhati-hati dan sejajar dengan nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi dan aspirasi pelbagai kumpulan yang semakin meningkat.



"Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul, dalam usaha untuk mengukuh iltizam bersama kita bagi masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura,'' katanya.



Berucap dalam bahasa Melayu, Encik Lee menarik perhatian bahawa soal pemakaian tudung oleh jururawat Muslim bukanlah isu baru dan beliau sendiri telah membincangkan perkara ini dengan pemimpin agama dan masyarakat.



Menurut beliau, pemimpin itu telah menerangkan mengapa pemakaian tudung penting kepada masyarakat Melayu/Islam dan berharap pemerintah akan mengubah peraturan itu.



"Saya katakan kepada mereka: 'Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam'.



"Tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional pemerintah."



Menurut beliau, berhubung soal tudung, keprihatinan utama pemerintah ialah keharmonian kaum.



Pemerintah juga wajib memastikan bahawa sebarang perubahan kepada peraturan mengenai tudung harus merapatkan masyarakat Singapura yang berbilang kaum.



"Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita,'' tambah beliau.



Pemerintah bagaimanapun tidak dapat membenarkan tudung bagi murid-murid sekolah dan para pegawai perkhidmatan awam beruniform termasuk SAF dan polis atas sebab-sebab yang sangat genting.



Bagi para jururawat pula, katanya, pemerintah mempunyai sebab-sebab yang munasabah untuk tidak membenarkan tudung.



"Namun, pertimbangan untuk membenarkan atau tidak membenarkannya adalah agak seimbang. Dari semasa ke semasa, keseimbangan baru boleh dibuat secara berhati-hati dan bertahap-tahap,'' ujar beliau.



Menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut dalam ucapan bahasa Inggeris kemudian, beliau berkata isu tudung adalah isu kebangsaan dan bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam.



Pemerintah pula telah memantau perkara itu dengan rapi sejak pertemuan beliau dengan pemimpin Muslim pada 2014.



Sejak itu, katanya, pemerintah mendapati interaksi antara kaum kekal selesa dan orang bukan Islam biasa melihat wanita Muslim bertudung.



Wanita Muslim bertudung pula lazimnya agak selesa berinteraksi dengan orang bukan Islam.



Beberapa bulan lalu, PM Lee berkata beliau bertemu dengan pemimpin Muslim sekali lagi dan memberitahu bahawa pemerintah kini bersedia dan akan memutuskannya menjelang Rapat Hari Kebangsaan.



Rapat sekitar dua jam itu disampaikan dalam format baru di hadapan penonton seramai 2,000 di studio Mediacorp dan wadah Zoom sebagai langkah mengelak koronavirus. Namun ia tetap disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan dalam talian seperti biasa.



Tahun lalu, rapat tidak dapat diadakan gara-gara Covid-19.



Menyentuh tentang pandemik itu, Encik Lee berkata Singapura kini berjaya mengawal penularan tersebut dan mampu kembali kepada kehidupan lebih normal sekiranya semua orang memainkan peranan masing-masing dalam bulan-bulan akan datang.



Beliau turut melahirkan penghargaan atas kepercayaan dan kerjasama rakyat khususnya barisan depan dalam memerangi koronavirus.



Dengan koronavirus lebih terkawal, tambah beliau, Singapura akan memberi fokus semula kepada masa depan antara lain dengan mengembangkan ekonomi dan menangani cabaran sosial.



Beliau turut mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak yang dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia dan Pertahanan) Encik Zaqy Mohamad untuk membantu pekerja bergaji rendah.



Ini termasuk meluaskan Gaji Progresif kepada lebih banyak pekerja, memperluas skim Gaji Kelayakan Setempat, dan memperkenal satu skim pengiktirafan untuk menggalak majikan membayar gaji progresif.



Menyentuh tentang masalah golongan pekerja seperti penghantar barangan yang tidak menerima perlindungan pekerjaan, beliau berkata Kementerian Tenaga Manusia sedang mengkajinya dan akan melakukan perundingan untuk memberi mereka masa depan lebih cerah.



Encik Lee turut mendedahkan bahawa pemerintah akan memperkenalkan kuasa undang-undang untuk menangani isu diskriminasi di tempat kerja.



Berhubung cabaran menangani isu kaum dan agama, Encik Lee turut mengumumkan bahawa pemerintah bakal memperkenalkan satu rang undang-undang baru untuk mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.




SEKILAS PENGUMUMAN PM LEE



  • Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum akan diperkenalkan untuk mengumpulkan semua undang-undang yang ada bagi menangani kesalahan berunsur perkauman

- Pesalah boleh diperintah perluas pengetahuan mengenai kaum lain dan memulih hubungan



  • Jururawat Muslim dalam sektor jagaan kesihatan awam boleh memakai tudung semasa bertugas, dari 1 November

- Majikan dalam sektor privet boleh buat keputusan sendiri



  • Model Gaji Progresif (PWM) akan diberikan kepada lebih ramai pekerja

- Pengiktirafan Tanda Gaji Progresif akan diberi kepada syarikat untuk menggalak pembayaran gaji progresif



  • Majikan yang menggajikan pekerja asing perlu membayar Gaji Kelayakan Setempat $1,400 kepada semua pekerja setempat

- Bersama PWM, 8 daripada 10 pekerja bergaji lebih rendah setempat dijangka meraih manfaat



  • Peruntukan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (Workfare) ditambah daripada $850 juta kepada $1.1 bilion setahun dalam masa dua tahun

- Menambah bayaran bagi semua penerima



- Membantu lebih ramai pekerja, termasuk yang lebih muda (syarat usia direndahkan daripada 35 tahun kepada 30 tahun)



  • Garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) bagi menangani diskriminasi di tempat kerja akan dijadikan undang-undang

- Tribunal akan ditubuhkan untuk melindungi pekerja asing, wanita, dan pekerja yang menerima layanan berbeza disebabkan usia, kaum, agama dan keadaan kurang upaya




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >