PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan mengetuai delegasi Singapura bagi Sidang Puncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) ke-13.
Sidang itu dijadualkan berlangsung hari ini dan esok melalui sidang video, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Asem kali ini menandakan ulang tahunnya yang ke-25. Ia diadakan dua tahun sekali, namun ditangguhkan pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
Selaras dengan tema kali ini - Mengukuhkan Multilateralisme bagi Pertumbuhan Bersama - pemimpin Asem akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau semasa dan yang baru muncul.
"Mereka juga akan membincangkan pengukuhan peranan Asem dalam menggalak multilateralisme dan memudahkan pemulihan berdaya tahan daripada pandemik Covid19," tambah PMO.
Sama seperti pada sidang puncak Asean dan sidang puncak khas Asean-China baru-baru ini, Myanmar tidak akan diwakili selepas ketua junta tenteranya tidak diundang ekoran kegagalan pihaknya mengikuti syarat perjanjian damai serantau.
Tentera Myanmar pula enggan menghantar perwakilan lebih rendah.
Asem merupakan wadah untuk berdialog dan bekerjasama, dan menghimpunkan 53 rakan kongsi dari seluruh Eropah dan Asia.
Tujuan utamanya ialah menyediakan wadah untuk memupuk dialog politik, mengukuhkan kerjasama ekonomi dan menangani cabaran global secara bersama.