PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura dan Brunei berkongsi satu hubungan istimewa dan unik, yang terjalin hasil persahabatan berdekad lamanya.
Beliau berkata demikian sebagai menggulung lawatannya ke Brunei baru-baru ini.
Dalam catatannya di Facebook semalam, Encik Lee berkata:
"Singapura dan Brunei mempunyai hubungan yang mendalam dan pelbagai, berteraskan sikap saling mempercayai yang telah terjalin selama beberapa dekad.
"Semoga perkongsian kita akan terus kukuh pada tahun-tahun mendatang".
Encik Lee turut menyampaikan ucapan selamat ulang tahun Singapura kepada Sultan Hassanal Bolkiah.
Beliau mengadakan lawatan ke Brunei dengan ditemani isterinya, Cik Ho Ching, untuk menghadiri sambutan ulang tahun ke-76 Sultan Bolkiah.
Turut menemani Encik Lee dalam lawatan tersebut ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman serta pegawai kanan pemerintah.
Dalam lawatannya itu, Encik Lee turut menghadiri Istiadat Pelantikan dan Jamuan Diraja, selain menghadap Sultan dan bertemu beberapa menteri Brunei yang lain.
Beliau dan Sultan juga membincangkan cara untuk mengembangkan kerjasama dua hala, termasuk memupuk hubungan peribadi yang erat antara generasi pemimpin akan datang.
Malam kelmarin, Encik Lee dan isterinya turut dikurnia anugerah diraja daripada Sultan Brunei itu.
Encik Lee telah menerima anugerah Darjah Kerabat Laila Utama manakala Cik Ho pula menerima anugerah Darjah Paduka Seri Laila Jasa - Kelas Pertama daripada Sultan Bolkiah.
Anugerah tersebut diberi semasa satu majlis penyampaian anugerah khas di Istana Nurul Iman.
Encik Lee dan Dr Mohamad Maliki juga telah mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri Brunei dalam satu acara makan petang kelmarin.
Pertemuan tersebut melibatkan antara lain Menteri Kesihatan, Dato Isham Jaafar; Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Dato Amin Liew Abdullah; Menteri Luar Negeri II, Dato Erywan Yusof; Menteri Dalam Negeri, Dato Ahmaddin Rahman; Menteri Sumber Utama dan Pelancongan, Dato Manaf Metussin dan Menteri Pendidikan, Datin Romaizah Salleh.
Dalam pertemuan makan petang itu, Encik Lee, Dr Maliki dan menteri-menteri Brunei telah membincangkan cara untuk meluaskan kerjasama antara kedua-dua negara merentasi pelbagai sektor.
Dr Maliki, dalam catatan Facebook beliau, berkata:
"Sultan sangat ramah semasa lawatan kami ke Brunei. Saya tidak sabar untuk melawat Brunei lagi!"
Semasa di Brunei juga, Encik Lee telah meluangkan masa untuk bertemu dengan para pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di kemudahan latihan di Temburong, Brunei, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja tiga harinya ke negara itu.
Encik Lee telah ditemani Ketua Tentera SAF, Mejar-Jeneral (MG) David Neo.
Kementerian Pertahanan (Mindef) mengesahkan hubungan ketenteraan yang kukuh dan berpanjangan antara Singapura dengan Brunei, dan berkata latihan SAF di Brunei dirancang akan disambung secara berperingkat ke tahap pra-Covid-19 mulai bulan depan.