PEMERINTAH telah memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa mereka kekal bebas untuk berdakwah dan mengamalkan ajaran Islam mengenai seksualiti dan perkahwinan menyusuli pengumuman bahawa Seksyen 377A akan dimansuhkan, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Meskipun masyarakat Islam tidak terjejas secara langsung dengan berita itu, kerana perkahwinan Islam ditadbir secara berasingan di bawah syariah, Encik Lee berkata dapat difahami bahawa mereka juga prihatin tentang pemansuhan undang-undang yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah itu.
Encik Lee juga berkata, konteks sosial lebih luas di mana masyarakat Islam hidup tidak akan berubah secara tiba-tiba.
Berucap di Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) di Pusat Konvensyen Raffles City semalam, Encik Lee menyentuh tentang isu Seksyen 377A itu untuk menunjukkan pendekatan yang diambil pemerintah dalam membina sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang bersatu padu, yang "selamanya akan menjadi satu usaha berterusan".
"Masa dan keadaan berubah, generasi baru mempunyai pengalaman hidup dan jangkaan berbeza, dan dari semasa ke semasa, kita perlu menangani isu baru dan mencabar," kata beliau.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan bulan lalu, Encik Lee telah menjelaskan meskipun Seksyen 377A akan dimansuhkan, pemerintah tidak mahu pemansuhan itu mencetuskan peralihan mendadak dalam norma masyarakat dan menjejas banyak dasar pemerintah yang bersandarkan takrif perkahwinan sedia ada, iaitu antara seorang lelaki dan wanita.
Dengan itu, pemerintah akan terus mendukung dan melindungi institusi perkahwinan, dan akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan sedia ada daripada dicabar secara perlembagaan di mahkamah.
Encik Lee berkata dalam sebuah masyarakat berbilang agama, pemerintah mesti mengambil pendekatan yang neutral dan sekular.
Namun, mereka juga akan mengiktiraf dan menghormati pandangan dan aspirasi berbeza dalam kalangan rakyat Singapura, dan mengimbanginya secara adil untuk mencapai akomodasi politik.
"Dengan bertolak ansur, semua kumpulan boleh hidup dalam cara yang mereka mahu, dan hidup harmoni bersama," kata beliau.