Lawatan PM ke Washington

PM Lee: Penting bagi S'pura kekal hubungan dua hala baik dengan AS

Menggulung lawatannya ke Washington, PM Lee turut menekankan kepentingan Amerika terus melibatkan diri dalam ehwal Asia

Pelaburan dan syarikat dari Amerika Syarikat di Singapura mencipta bukan sahaja puluhan, malah ratusan ribu pekerjaan bagi warga Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong, pada Rabu (25 Oktober, waktu Amerika).

Lantaran itu, adalah penting bagi Singapura mengekalkan hubungan dua hala baik (dengan Amerika) dan supaya Amerika kekal sebagai pihak berkepentingan di Asia, tambah Encik Lee, bercakap kepada media Singapura bagi menggulung lawatannya ke Washington.

 Menurut Encik Lee, lawatan bekerja rasmi ini adalan lawatan yang memberi manfaat, terutama kerana Presiden Donald Trump akan mengunjungi Asia awal  bulan depan.

"Saya jangka, kami telah berupaya menunjukkan pandangan kami, yang membantu mereka memahami bahawa adalah penting bagi Amerika terus melibatkan diri dengan Asia, bahawa Asia amat bergantung kepada penglibatan Amerika dalam ekonomi, keselamatan dan banyak bidang lain, dan ini harus diteruskan dalam pentadbiran baru," kata Encik Lee.

"Berkenaan cara melaksanakannya, dasar perdagangan khusus yang perlu dikejar, ini adalah perkara yang perlu mereka fikirkan dan mereka akan berfikir tentangnya," tambah beliau.

Semasa lawatan itu, Encik Lee dan Encik Trump turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dengan penghasil pesawat Boeing - untuk membeli 39 pesawat. Tempahan ini, kata Boeing, akan mengekalkan lebih 70,000 pekerjaan di Amerika bagi syarikat itu, pembekal dan pihak lain.