Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Perkukuh ikatan, kekal waspada bagi elak pengganasan

Dec 06, 2021 | 05:30 AM



RAKYAT Singapura perlu terus memperkukuh ikatan sosial dan kekal berwaspada untuk memastikan negara selamat dan dapat menggagalkan serangan pengganasan masa depan, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Beliau berkata demikian semalam sempena dua dekad sejak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) melancarkan operasi melumpuhkan rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura.



"Selepas 20 tahun, ISD dan pelbagai agensi keselamatan kekal berwaspada dan responsif dalam menangani ancaman pengganasan yang semakin berkembang.



"Untuk memastikan kita selamat dan dapat menggagalkan serangan pada masa depan, kita mesti terus memperkukuh ikatan sosial kita dan kekal berwaspada sebagai sebuah masyarakat," kata Encik Lee dalam satu catatan Facebook.



Mengimbas kembali kejadian yang berlaku dua dekad lalu itu, Encik Lee berkata menyusuli serangan 9/11 yang berlaku di Amerika Syarikat, ISD telah melancarkan operasi terhadap kumpulan JI yang bermula pada 8 Disember 2001.



Kumpulan JI telah merancang untuk menyerang beberapa tempat di Singapura dengan tujuan menggoncangkan kestabilan dan mencetuskan huru-hara.



Sasaran mereka termasuk Kedutaan Amerika, Lapangan Terbang Changi, stesen MRT Yishun dan saluran paip air.



Bagaimanapun, maklumat yang diberikan seorang warga Singapura yang berwaspada telah memainkan peranan penting bagi ISD mendedahkan rangkaian JI itu.



Laporan Berita Harian (BH) kelmarin berkongsi kisah pegawai operasi kanan ISD, yang hanya mahu dikenali sebagai 'Encik Rajah', yang menceritakan detik-detik awal operasi mengesan JI di sini yang dimulakan apabila jabatan itu mendapat maklumat mengenai lelaki warga Singapura bernama Mohammad Aslam Yar Ali Khan yang punya hubungan dengan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.



Menurut 'Encik Rajah', jabatannya pada ketika itu tidak tahu pun mengenai kewujudan JI tetapi telah meneliti setiap butiran serta memantau Aslam dan temannya dengan rapat sehingga akhirnya dapat mematahkan rangkaian JI di negara ini.



Sebagai sebahagian operasi yang dilancarkan untuk melumpuhkan kumpulan songsang itu, seramai 15 individu ditangkap ISD antara 9 Disember dengan 24 Disember 2001, dan lagi 21 individu ditangkap pada Ogos 2002.



Encik Lee berkata keharmonian dan perpaduan sosial negara ini tentunya akan terjejas jika serangan yang dirancang itu berjaya dilaksanakan.



"Sekiranya serangan itu berlaku, keharmonian dan perpaduan sosial yang telah kita bina selama bertahun-tahun lamanya akan mengalami tamparan hebat.



"Mujur, operasi keselamatan ISD dan kewaspadaan serta sokongan masyarakat kita telah melumpuhkan rangkaian JI di sini dengan berkesan," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >