PERDANA Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern telah mengadakan Sidang Puncak Maya melalui sidang video pada Rabu (27 Mei) bagi memperingati ulang tahun pertama penubuhan Kerjasama Dipertingkat Singapura-New Zealand (EP).
Ditubuhkan pada 17 Mei tahun lalu semasa lawatan Perdana Menteri Ardern ke Singapura, EP merupakan tunggak penting dalam hubungan dua hala dan merangkumi inisiatif dalam empat bidang utama - perdagangan dan ekonomi; keselamatan dan pertahanan; sains, teknologi dan inovasi; dan hubungan sesama rakyat, kata kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Kededua pemimpin telah mengesahkan lagi hubungan dua hala yang sangat baik dan mengkaji kemajuan baik yang dicapai di bawah EP sejak setahun lalu.
Mereka juga menyatakan komitmen bersama untuk memperdalam dan memperluas kerjasama dalam empat bidang itu, dan bersetuju untuk terus meneroka bidang kerjasama baru bagi memastikan EP relevan dan berpandangan ke depan, kata MFA.