PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, memulakan lawatan beliau ke Bintan hari ini bagi Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia yang dihoskan Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo.
Ia rahat kelima dua pemimpin itu, dengan yang terakhir diadakan pada 8 Oktober 2019 di Singapura.
Rahat tahunan itu menjadi wadah bagi dua pemimpin itu melakar bidang-bidang kerjasama yang ingin diusahakan. Namun, sejak pandemik Covid-19, mereka tidak mengadakan rahat itu sehinggalah hari ini.
"Perdana Menteri Lee dan Presiden Joko Widodo akan menyemak perkembangan kerjasama dua hala sejak Rahat Pemimpin lalu dan membincangkan cara meluaskan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang tumpuan utama bagi kedua-dua negara.
"Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan sejagat,'' ujar satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Semasa Rahat Pemimpin sehari itu, Encik Lee dan Encik Widodo akan menyaksikan penandatanganan dan pertukaran set perjanjian yang dirundingkan bagi asas 'Rangka Kerja Perbincangan' semasa Rahat Pemimpin pada 2019.
Perjanjian-perjanjian itu ialah Perjanjian bagi Penjajaran semula Sempadan antara Rantau Maklumat Penerbangan Jakarta (FIR) dan FIR Singapura; Perjanjian Ekstradisi Pelarian; Perjanjian Bersama Kenyataan antara Menteri Pertahanan mengenai Perjanjian Kerjasama Pertahanan 2007 dan Aturan Pelaksanaan antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Indonesia (kini disebut Angkatan Pertahanan Nasional Indonesia) bagi Kawasan Latihan Ketenteraan di Indonesia, serta Pertukaran Surat Janji bagi melaksana perjanjian itu secara serentak.
Dua pemimpin itu juga akan mengesahkan pengumuman beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani sebelum rahat itu, termasuk dalam kerjasama kewangan dan ekonomi, perkembangan ekonomi hijau dan ekonomi 'circular' (model mengitar semula barangan), kerjasama bekalan tenaga, dan pembangunan modal insan.
Di sebalik Covid-19, pelaburan Singapura di Indonesia meningkat 50 peratus mencapai AS$9.8 bilion ($13.2 bilion) pada 2020.
Singapura juga rakan dagangan ketiga terbesar Indonesia, sementara Indonesia merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Singapura. Dagangan dua hala mencapai $48.8 bilion pada 2020. Perjanjian Pelaburan Dua Hala Singapura-Indonesia juga dilaksana pada Mac tahun lalu.
PM Lee akan diiringi Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran; dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua (Perdagangan dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.