PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Ghani Abdul Hamid, yang telah meninggal dunia hari ini.
Berikut ucap takziah beliau yang disampaikan menerusi Facebooknya sebentar tadi:
"Saya sedih menerima berita pemergian Encik Abdul Ghani Abdul Hamid, salah seorang anggota Golongan Perintis kita.
"Pak Ghani telah membuat sumbangan besar, mencorak dan memperkaya warisan budaya dan kesenian Singapura.
"Beliau adalah seorang penulis, penyair dan pelukis tersohor yang amat disegani.
"Beberapa karya beliau telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dan Cina.
"Beliau juga telah membantu mengasas Perkumpulan Seni dan Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD), kedua-duanya pertubuhan penting yang mewarnai arena seni persembahan dan seni lukisan Melayu.
"Pengorbanan dan sumbangan Pak Ghani telah mendapat pengiktirafan tertinggi melalui Anugerah Tun Seri Lanang (1998) dan Pingat Budaya (1999)
"Dengan seikhlas hati, saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga Pak Ghani atas pemergian beliau." - LHL