PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semalam menyertai pemimpin Asia dan Eropah dalam Sidang Puncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) ke-13 yang berlangsung selama dua hari.
Sidang itu diadakan melalui sidang video dan dipengerusikan perdana menteri Kemboja, Encik Hun Sen.
Asem kali ini menandakan ulang tahunnya yang ke-25. Ia diadakan dua tahun sekali, namun ditangguhkan pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
Tema kali ini adalah 'Mengukuhkan Multilateralisme bagi Pertumbuhan Bersama' dengan pemimpin Asem bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau semasa dan yang baru muncul.
"Mereka juga akan membincangkan pengukuhan peranan Asem dalam menggalak multilateralisme dan memudahkan pemulihan berdaya tahan daripada pandemik Covid19," ujar kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kelmarin.
Seperti sidang puncak Asean dan sidang puncak khas Asean-China baru-baru ini, Myanmar tidak diwakili dalam Asem kali ini.
Ini setelah ketua junta tenteranya tidak diundang ekoran kegagalan pihaknya mengikuti syarat perjanjian damai serantau.
Pemimpin Eropah difahamkan turut mengambil pendirian serupa berkaitan penyertaan Myanmar dalam sidang Asem.
Asem telah dilancarkan pada 1996 dengan Singapura sebagai ahli pengasas.
Perdana Menteri Singapura pada masa itu, Encik Goh Chok Tong, menganggapnya sebagai wadah untuk mengukuhkan hubungan antara Asia dengan Eropah.
Asem kali ini pula dihadiri pemimpin dari 30 negara Eropah, 21 negara Asia, Kesatuan Eropah (EU) dan Sekretariat Asean.
Encik Hun Sen, sebagai pengerusi Asem, akan menekankan kepentingan multilateralisme dan ketersambungan, sambil menggesa usaha bersepadu pemulihan pospandemik.
Asem merupakan wadah untuk pemimpin Asia dan Eropah berdialog dan bekerjasama, dengan antara matlamatnya menyediakan wadah untuk memupuk dialog politik, mengukuhkan kerjasama ekonomi dan menangani cabaran global secara bersama.