SINGAPURA akan memainkan peranannya untuk mengatasi perubahan iklim dengan mengubah sektor yang banyak mengeluarkan karbon atau gas yang mengakibatkan pemanasan bumi, serta membangun ekonomi hijau, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Meskipun dunia terus bergelut dengan pandemik Covid-19, ia juga tidak mampu mengabaikan agenda iklim global, kata Encik Lee.
"Perubahan iklim ialah satu ancaman yang penting dan melibatkan soal kewujudan, dan semua negara harus membina atas Perjanjian Paris untuk mengatasi cabaran global kepada kemanusiaan ini," kata Encik Lee, merujuk kepada perjanjian antarabangsa yang dimeterai pada 2016 untuk mengatasi perubahan iklim.
Encik Lee berkata demikian semasa berucap di acara Meja Bundar Pemimpin Commonwealth Serantau Asia yang diadakan secara maya semalam.
Dalam ucapannya itu, Encik Lee mengongsi usaha Singapura untuk membangun secara lebih hijau atau mesra alam dalam dunia pasca-Covid-19, termasuk melancarkan Pelan Hijau Singapura 2030 pada Februari lalu.
Pelan itu merupakan satu rancangan menyeluruh yang melakarkan strategi Singapura ke arah pembangunan mampan, pengeluaran karbon, serta membangun ekonomi hijau.
Antaranya, Singapura akan mengubah sektor yang banyak mengeluarkan karbon. Dalam sektor maritim dan penerbangan, Singapura akan mengurangkan pengeluaran karbon menerusi automasi, digitalisasi, teknologi bijak dan penggunaan bahan bakar alternatif.
Dalam sektor tenaga dan kimia pula, Singapura akan mengubah hab petrokimia Pulau Jurong menjadi taman tenaga dan kimia yang menggunakan teknologi canggih dan mengoptimum sumber.
Di samping itu, Singapura juga akan membangun ekonomi hijau. Negara ini bermatlamat menjadi hab perkhidmatan dan perdagangan karbon, menyediakan perkhidmatan seperti pembangunan projek, pembiayaan, perdagangan dan pengesahan, kata Encik Lee.
Syarikat juga sedang melabur di Singapura untuk membangun huraian tenaga yang bersih, termasuk grid bijak, serta huraian penyimpanan tenaga untuk membantu dalam peralihan kenderaan elektrik.
Pada masa yang sama, Singapura juga akan mempromosi pembiayaan hijau untuk memupuk pembangunan mampan, termasuk menerusi bon hijau, pinjaman dan huraian insurans bagi syarikat di Asia.
Singapura juga sedang meninjau huraian teknologi kewangan FinTech untuk membantu syarikat mengukur pengeluaran karbon dan langkah untuk mengurangkan pengeluaran tersebut.
Satu lagi strategi penting dalam usaha mengatasi perubahan iklim adalah untuk membantu syarikat dan pekerja untuk membina keupayaan dan kemahiran baru.
Singapura sedang melabur lebih AS$18 bilion ($23.9 bilion) dalam penyelidikan, inovasi dan perusahaan bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Encik Lee.
Satu Program Kemampanan Perusahaan akan dilancarkan untuk menyokong syarikat dalam pembangunan keupayaan, penggunaan piawaian, serta pembangunan produk dan huraian baru.
Negara ini juga bakal menubuhkan Pusat Kewangan Hijau Singapura, yang merupakan kerjasama Universiti Pengurusan Singapura dan Sekolah Perniagaan Kolej Imperial.
Pusat itu akan memberi tumpuan kepada program penyelidikan dan latihan, dalam sains iklim, ekonomi kewangan dan pelaburan mampan.
"Sebagai sebuah negara kecil, kesan Singapura ke atas iklim global adalah terbatas. Tetapi kami akan memainkan peranan kami, dan di mana termampu, kami akan menyokong yang lain juga," kata Encik Lee.
Beliau memberi contoh Pakej Tindakan Iklim Singapura yang menawarkan bantuan teknikal dalam sains iklim dan tenaga bersih, kepada negara membangun lain, termasuk dalam Commonwealth.
"Kami akan menyokong Britain dalam peranannya sebagai Presiden bagi Persidangan Perubahan Iklim ke-26 (COP-26), dan akan berganding bahu dengan semua negara untuk membangun masa depan yang mampan dan makmur," kata Encik Lee.