PM Lee: Singapura boleh belajar dari Jepun tangani isu penuaan

KEPERLUAN bagi Singapura dan Jepun untuk bekerja lebih rapat demi menangani perkembangan penting di tengah-tengah ketidakpastian global, serta belajar daripada satu sama lain dalam menangani isu yang serupa yang dialami mereka, digariskan oleh kededua negara itu pada Khamis (10 Oktober).

Antara isu utama yang boleh dijadikan pengajaran untuk Singapura ialah cara masyarakat Jepun mengatasi isu penuaan yang membelenggu masyarakat mereka, terumata apabila Singapura akan menghadapi isu yang sama dalam sekitar 15 tahun, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Berucap di satu dialog sempena menandakan ulang tahun ke-50 Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jepun (JCCI) di Singapura, PM Lee berkata: "Kami meneliti semua perkara yang (Jepun) sedang lakukan (berkaitan isu penuaan), semua teknologi yang dicipta (oleh Jepun). Peranti untuk orang tua , sudu dan garfu yang boleh digunakan oleh orang tua, mesin yang membantu orang tua mandi.

"Pelbagai jenis peranti pintar yang menyenangkan kehidupan dan lebih praktikal untuk orang ramai."

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Encik Takehiko Koyanagi, daripada penerbitan kewangan Nikkei Asian Review, yang menjadi moderator dialog di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS).

Selain itu, PM Lee berkata Singapura perlu mempelajari bagaimana syarikat-syarikat Jepun telah menyesuaikan amalan pekerjaan mereka untuk memenuhi keperluan warga tua dalam tenaga kerja.