PM Lee: Tempoh yang sukar boleh dijangkakan tetapi S'pura akan terus tingkatkan inovasi dan produktiviti

PERTUMBUHAN ekonomi 2019 dijangka perlahan disebabkan ketidaktentuan sejagat tetapi Singapura akan menumpukan terhadap agenda kebangsaan, dengan penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan menjadi tumpuan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Bercakap di majlis makan malam bagi meraikan Tahun Baru Cina di Teck Ghee tadi (9 Februari), Encik Lee berharap rakyat Singapura akan bekerja sama dengan pemimpin baru diketuai Menteri Kewangan Heng Swee Keat bagi membangunkan negara ini.

"Tahun ini, kita melihat awan gelap dalam bidang ekonomi...Kita akan bekerja keras tetapi saya jangkakan kemajuan lebih sukar dari tahun lalu,'' kata PM Lee, dalam laporan The Straits Times.

Tahun lalu, ekonomi Singapura tumbuh 3.3 peratus - memenuhi jangkaan pemerintah.

Beliau menambah pemerintah akan terus berusaha bagi memastikan penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan kekal dimampui dan dapat diakses oleh semua.

Di Teck Ghee, Rumah Rawatan Ren Ci yang baru telah menyediakan khidmat penjagaan bersepadu kepada masyarakat, empat tambahan bas disediakan di Ang Mo Kio dan lebih banyak tadika dibina termasuk sebuah tadika di Sekolah Rendah Mayflower.

Encik Lee berkata pemerintah akan terus berusaha bekerja keras bagi mencapai kestabilan pertumbuhan ekonomi tidak kira bagaimana kelakonan ekonomi sejagat.

"Kita akan terus berinovasi dan meningkatkan produktiviti. Hanya dengan demikian, ia akan dapat mengekalkan pekerjaan,'' ujarnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Generasi Merdeka, yang merupakan warga setempat yang lahir dalam tahun 1950an, kerana pengorbanan mereka selepas Singapura merdeka.

"Pengorbanan dan komitmen mereka telah memberikan kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati,'' kata PM Lee.

Beliau menggalak Generasi Merdeka untuk mengongsi nilai mereka dengan anak-anak serta cucu-cucu mengenai semangat menyumbang kepada negara ini.

"Keutuhan Generasi Merdeka amat berharga dan generasi muda boleh belajar dari mereka.

"Dengan cara yang sama, pemimpin generasi saya juga akan memberikan baton kepada pasukan baru.

"Saya berharap generasi muda akan dapat bekerja dengan pasukan baru dan membangunkan Singapura bersama,'' tambahnya.

Waktu Solat

Subuh
5:59
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:37
Maghrib
7:22
Isyak
8:32
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.