PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan isteri, Cik Ho Ching, telah beramah mesra dengan orang ramai yang memberikan salam takziah di ruang masuk utama perkarangan Istana, di mana ramai warga beratur untuk merakamkan penghormatan mereka kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew, petang tadi.
Encik Lee menghabiskan sekitar 10 minit melihat mesej-mesej yang tertera, kad serta bunga yang ditinggalkan di satu tempat khas di hadapan Istana sebagai penghargaan kepada mendiang bapanya.
Beliau juga sempat berbual dengan mereka yang tampil yang melahirkan kesedihan mereka di sebalik kematian bapa beliau serta menyampaikan takziah mereka kepadanya.
Sesetengah mereka dikatakan memekik:
"Semoga tabah, Encik Lee!"
Beliau kemudian menjawab:
"Terima kasih!".
Cik Hiap Cheng Lay, 71 tahun, yang menjual minuman di sebuah pusat penjaja merupakan salah seorang yang sempat bersalaman dengan Encik Lee.
"Apabila saya lihat beliau, semua perasaan saya tentang mendiang Encik Lee Kuan Yew timbul dan saya tidak dapat berkata apa-apa," katanya.
Awal dari itu, Presiden Tony Tan juga mengunjungi kawasan penghormatan di Istana untuk menemui mereka yang tampil memberikan penghormatan.