WALAUPUN hubungan Singapura dengan negara di benua Afrika dari segi sejarah tidak begitu erat, namun terdapat banyak peluang bagi mereka yang ingin merebutnya, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Terdapat semakin banyak kerancakan dan "banyak perniagaan yang sedang dilakukan dan rakyat Singapura pergi ke sana; ada yang tinggal di sana dan membuka laluan baru di kawasan baru dan memulakan sesuatu", kata beliau.
Encik Lee berkata tenaga itu dapat dilihatnya apabila beliau berada di Rwanda pada Jun 2022, semasa beliau bertemu, antara lain, Cik Lam Shumei, seorang warga Singapura yang memulakan penternakan ayam moden di situ.
Ini berlaku di seluruh Afrika, di negara dan bandar besar dan kecil, tambah Encik Lee.
Beliau berkata demikian selepas satu majlis makan bersama kira-kira 60 warga Singapura pada petang Ahad, hari sama Encik Lee mendarat di Cape Town, memulakan lawatan enam hari ke Afrika Selatan dan Kenya.
Kira-kira separuh daripada peserta majlis itu berpangkalan di Afrika Selatan dan rantau berdekatan.
Pada majlis itu, Encik Lee berkata beliau gembira akhirnya dapat mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Afrika Selatan, perjalanan yang beliau ingin lakukan bertahun-tahun lalu.
"Saya berada di sini kerana Afrika Selatan adalah negara penting di dunia, kerana kita mempunyai ramai kawan di Afrika Selatan," katanya.
"Adalah penting bagi kita untuk terus berhubung dengan mereka, untuk mengembangkan persahabatan kita dengan mereka dan hubungan ekonomi kita yang semakin meningkat dengan mereka juga."
Selain warga Singapura yang berpangkalan di bandar-bandar Afrika Selatan seperti Cape Town dan Johannesburg, ada peserta yang telah terbang untuk majlis itu dari tempat seperti Harare, Gaborone dan Kigali, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Afrika Selatan, Encik Zainal Arif Mantaha.
Bandar-bandar itu masing-masing adalah ibu kota Zimbabwe, Botswana dan Rwanda.
Termasuk hadir adalah Encik Sam Wong, yang merupakan ketua cef Willoughby and Co, sebuah restoran Jepun di Cape Town yang terkenal dengan sashimi dan susyinya.
Yang lain ialah Cik Chloe Duthie, 31 tahun, yang berpindah dari Singapura ke Cape Town selepas berkahwin dengan suaminya yang merupakan warga Afrika Selatan.
Beliau kemudian berminat dengan bidang keusahawanan kerana "budaya berkembang maju di sini, yang sangat kreatif dan berdaya saing".
Cik Duthie memulakan jenama barang kemas dan aksesorinya sendiri, dipanggil Voyager, pada 2022 selepas menyaksikan lonjakan e-dagang di situ yang dicetuskan oleh wabak Covid-19.
Encik Lee berkata beliau sentiasa teruja untuk bertemu rakyat Singapura di luar negara dan berterima kasih kepada mereka yang hadir.
"Ketahuilah bahawa kami sangat menghargai anda berada di luar negara mengibarkan bendera setinggi-tingginya dan membuat dunia mengetahui tentang Singapura dan membuat kita bangga menjadi rakyat Singapura," katanya.
"Ketahuilah bahawa kami sangat menghargai anda berada di luar negara mengibarkan bendera setinggi-tingginya dan membuat dunia mengetahui tentang Singapura dan membuat kita bangga menjadi rakyat Singapura."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.