Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAMAN PM LEE TERHADAP EDITOR TOC

PM Lee: Tidak punya kebebasan sepenuhnya tolak kedudukan Kabinet

Dec 02, 2020 | 05:30 AM



PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata di mahkamah semalam bahawa beliau tidak mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mengetepikan kedudukan Menteri Kabinetnya agar tidak merobohkan rumah mendiang bapanya di 38 Oxley Road.



Encik Lee, semasa memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan mengenai tindakan guamannya terhadap editor The Online Citizen (TOC), Encik Terry Xu, juga berkata bapanya, Encik Lee Kuan Yew, memahami pertimbangannya dan keterbatasannya sebagai ketua pemerintah.



PM Lee juga menolak tuduhan peguam bela, Encik Lim Tean, bahawa beliau merupakan pihak yang "membuat keputusan" mengenai urusan hartanah keluarganya.



Encik Lee mengambil tindakan guaman terhadap Encik Xu berkenaan artikel TOC, yang diterbitkan Ogos tahun lalu, yang merujuk kepada dakwaan adik PM Lee, Dr Lee Wei Ling, bahawa abangnya itu telah memperdaya bapa mereka hingga mendiang menyangka rumah di 38 Oxley Road itu telah diwartakan pemerintah.



Semasa soal balas terhadap PM Lee, Encik Lim bertanya mengapa beliau tidak dapat mengetepikan pandangan menteri Kabinet, yang diluahkan dalam satu mesyuarat pada Julai 2011, yang membantah langkah merobohkan rumah Oxley Road, bertentangan dengan kehendak mendiang Lee Kuan Yew.



"Sebagai perdana menteri, saya harus mengetepikan pertimbangan keluarga," kata PM Lee. "Ini tugas saya, saya mengangkat sumpah untuk melakukannya."



Menolak kedudukan menteri berdasarkan kehendak ayahnya adalah bertentangan dengan sumpah itu dan melakukan kesalahan terhadap Singapura, tambahnya.



PM Lee berkata setelah mesyuarat Kabinet itu, beliau memberikan penilaian yang jujur kepada ayahnya tentang apa yang akan dilakukan oleh pemerintah terhadap rumah itu setelah kematiannya.



"Saya katakan kepadanya, anda telah menemui Kabinet. Anda telah mendengar pandangan para menteri. Sekiranya saya mempengerusikan mesyuarat Kabinet, memandangkan ini adalah pandangan menteri dan orang awam, saya fikir ia sangat sukar bagi saya untuk mengetepikannya dan merobohkan rumah itu.



"Saya harus bersetuju bahawa rumah itu harus diwartakan, dipelihara dan jika saya bukan PM atau saya tidak mempengerusikan mesyuarat, kemungkinan besar rumah itu akan diwartakan. Beliau faham."



Encik Lim kemudian merujuk kepada e-mel yang dihantar Dr Lee Wei Ling kepada ayahnya: "Setelah tinggal di sini selama bertahun-tahun saya telah menyesuaikan diri ... Anda buat keputusan. Saya gembira dapat tinggal di Oxley."



"Ayah anda menjawab lewat petang itu .. 'Saya tidak boleh buat keputusan. Loong sebagai PM mempunyai kata terakhir,'"kata Encik Lim kepada PM Lee.



PM Lee menjawab: "Beliau berkata saya buat keputusan - saya PM, saya mempunyai pandangan, jika saya meluahkannya, menteri saya akan mempertimbangkan. Tetapi saya tidak dapat menolak (mereka), seperti yang diakui ayah saya."



Encik Lim merujuk satu lagi e-mel daripada Perdana Menteri Pengasas, yang berbunyi: "Walaupun saya merobohkannya ketika saya masih hidup, PM boleh mewartakannya sebagai tapak warisan dan menghentikan perobohannya."



Ini menunjukkan bahawa Encik Lee Kuan Yew selalu berbicara mengenai anaknya sebagai pembuat keputusan, kata Encik Lim.



PM Lee akur bapanya itu berkata demikian tetapi menambah: "Saya menjelaskan kepadanya apa yang perlu saya lakukan sebagai pembuat keputusan. Dalam kata lain, saya tidak mempunyai kebebasan bertindak."



Encik Lim kemudian mencadangkan bahawa Encik Lee Kuan Yew tidak berpuas hati mendengar pandangan yang diluahkan dalam mesyuarat Kabinet pada Julai 2011 itu.



Encik Lee berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perasaan bapanya itu, tetapi "saya membayangkan beliau kecewa beliau tidak mendapat persetujuan menteri, tetapi dalam Kabinet, begitulah kami berurusan."



PM Lee juga menekankan bahawa bapanya memahami kedudukan Kabinet dan anaknya.



"Apabila beliau menulis kepada Kabinet (pada Disember 2011), beliau berkata Menteri telah secara sebulat suara meluahkan pandangan mereka. Dan bukan PM telah memberitahu Kabinet beliau tidak akan merobohkan rumah itu."



Encik Lim kemudian berkata: "Saya mencadangkan kepada anda bahawa bapa anda tahu anda membuat keputusan dan anda tidak menyokongnya.



"Memang mudah bagi anda untuk mengatakan ia tekanan daripada orang lain."



PM Lee menolak kenyataan itu.



Encik Lim berkata: "Adik beradik anda betul apabila mereka berkata anda ingin memelihara rumah itu untuk mewarisi kewibawaan Encik Lee Kuan Kew."



Menyifatkan kenyataan itu sebagai 'mengarut', PM Lee berkata: "Warga Singapura kenal saya, saya telah berada dalam politik sejak 1984 dan menjadi PM untuk 16 tahun. Jika saya bergantung pada langkah untuk tinggal di rumah tertentu bagi mengeluarkan aura ajaib dan menarik hati orang awam, saya berada dalam keadaan yang amat menyedihkan, dan Singapura berada dalam keadaan menyedihkan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >