Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

JURURAWAT DIIZIN PAKAI TUDUNG

PM Lee: Tudung juga isu nasional

ndr
Aug 30, 2021 | 05:30 AM



TUDUNG bukanlah isu bagi masyarakat Islam sahaja, tetapi ia adalah sebuah isu nasional.



Justeru, pemerintah telah memerhatikan perkembangan berkenaan isu tersebut dengan dekat, sejak 2014, apabila perbincangan mengenai isu tudung mula menimbulkan ketegangan.



Berkata demikian, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerangkan pemerhatian pemerintah adalah mereka yang berbeza kaum terus berinteraksi dengan selesa dan masyarakat bukan Islam juga sudah biasa melihat wanita beragama Islam memakai tudung.



Wanita Muslim yang memakai tudung juga, umumnya, selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim, dalam sebahagian besar sekitaran.



"Di hospital khususnya, sesetengah kakitangan yang tidak berseragam, ada antara mereka yang memakai tudung, dan kami melihat hubungan mereka dengan pesakit dan rakan sekerja baik-baik saja.



"Tambahan, warga Singapura yang lebih muda juga lebih terbuka menerima perbezaan kaum dan agama," ujar beliau.



Encik Lee berkata demikian semasa menjelaskan pertimbangan di sebalik keputusan pemerintah merubah dasar bagi membolehkan kakitangan penjagaan kesihatan yang berseragam untuk memakai tudung, jika mereka mahu.



Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) semalam, Encik Lee mengumumkan kelonggaran tersebut akan diperkenalkan mulai 1 November nanti.



Sementara itu, dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata semakan dasar itu boleh dimanfaatkan lebih 7,000 kakitangan berseragam Muslim wanita di sektor penjagaan kesihatan awam merangkumi kelompok penjagaan kesihatan SingHealth, National Healthcare Group dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional serta Lembaga Penggalak Kesihatan, Penguasa Sains Kesihatan, Penjagaan Kesihatan Vanguard dan MOH Holdings.



Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerangkan kakitangan penjagaan kesihatan sektor privet digalak untuk menjadikan semakan tersebut sebagai rujukan, meskipun ia tidak diwajibkan.



Memberi perincian lanjut mengenai pertimbangan pemerintah, Encik Lee menceritakan beliau telah mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin masyarakat Islam pada 2014, di mana beliau dan para pemimpin yang hadir berbincang secara terbuka dari hati ke hati.



Menurutnya, beliau memahami sentimen masyarakat, namun beliau juga menjelaskan perspektif pemerintah.



Bagi seragam sekolah, pemerintah, menurutnya, mempunyai sebab-sebab tertentu bagi peraturan seragam sekarang, iaitu semua pelajar memakai seragam yang sama tanpa mengira kedudukan sosial, kaum atau agama.



"Kita perlu menyerlahkan persamaan dan mengurangkan perbezaan supaya para pelajar kita boleh membentuk hubungan yang berkekalan dalam tahun-tahun pembangunan mereka, yang akan membentuk sikap mereka untuk seumur hidup," ujar PM Lee.



Sehubungan dengan itu, beliau juga menekankan bahawa peraturan seragam bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan lain-lain perkhidmatan berseragam akan terus kekal seperti sekarang.



"Perkhidmatan-perkhidmatan ini tidak berat sebelah dan merupakan cabang pemerintah yang sekular. Mereka penguasa pasukan bersenjata dan melaksanakan undang-undang Singapura. Mereka harus sentiasa dilihat melakukannya tanpa rasa takut atau secara berat sebelah. Lantaran itu, setiap orang memakai seragam yang sama," ujar beliau.



Isu tudung dan jururawat di hospital pula agak berbeza, kata Perdana Menteri, dengan pertimbangan-pertimbangan yang lebih seimbang.



Di satu sudut ialah keinginan masyarakat, dan di satu lagi ialah keprihatinan pemerintah, di peringkat nasional dan juga secara khusus.



Encik Lee menerangkan, pesakit di hospital sering berasa bimbang dan kadang-kala, dalam keadaan tenat.



"Jadi penting mereka melihat semua jururawat sebagai sama. Bagi jururawat pula, mereka harus rasa sama selesa dalam menjaga semua pesakit, tanpa mengira bangsa atau agama.



"Kami tidak mahu perbezaan yang ketara dalam pakaian jururawat untuk menjadikan perkara ini lebih sukar untuk dicapai.



"Namun, saya memberitahu pemimpin masyarakat Islam pada 2014 bahawa dasar pemerintah dalam sektor penjagaan kesihatan bukanlah sesuatu yang tidak boleh berubah," katanya lagi.



Menurut Perdana Menteri, beliau memberitahu para pemimpin tersebut, bahawa pemerintah akan terus memantau keadaan. Dan sekiranya pendirian pemerintah berubah, beliau mahu memastikan semua pihak - masyarakat Islam dan bukan Islam - memahami dan menerima perubahan tersebut.



"Jadi beberapa bulan lalu, saya bertemu lagi dengan para pemimpin masyarakat Islam. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana membantu menangani isu sensitif ini sejak beberapa tahun ini. Saya juga memberitahu mereka yang kami seudah bersedia sekarang. Kami akan mempersiap masyarakat dan mengumumkan keputusan pada Rapat Hari Kebangsaan," ujar beliau.



Encik Lee menambah:



"Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul, dalam usaha untuk memperkukuh iltizam bersama kita bagi masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >