PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah menulis surat kepada Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan parti Encik Kishida dalam pilihan raya negara itu.
Kemenangan Parti Demokratik Liberal (LDP) itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Jepun yang berterusan terhadap parti tersebut, serta kepimpinan Encik Kishida dalam masa mencabar ini, kata Encik Lee dalam suratnya.
"Kerjasama yang sudah lama terjalin antara Singapura dan Jepun dicirikan dengan hubungan antara rakyat yang rapat dan mesra, serta kerjasama meluas merentasi banyak sektor, termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan, pendigitalan dan masyarakat yang menua," kata Encik Lee.
Dalam surat itu, Encik Lee turut meluahkan keyakinan bahawa hubungan antara dua negara itu akan menjadi lebih rapat sedang kededua pihak berganding bahu untuk membantu rakyat dan ekonomi bangkit lebih kukuh daripada pandemik.
Encik Lee juga menantikan untuk bekerjasama dengan Encik Kishida dalam meneruskan kerjasama yang kukuh dalam Asean serta dalam pelbagai forum serantau dan berbilang hala.
Encik Kishida, yang memimpin LDP, berjaya mengekalkan kuasa majoriti dalam pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.
Parti tersebut telah berkuasa hampir berterusan sejak 1950-an.
Encik Kishida menjadi ketua LDP sebulan lalu selepas Encik Yoshihide Suga meletak jawatan selepas hanya setahun disebabkan ketidakpuasan orang ramai terhadap respons krisis Covid-19.
Pemimpin baru itu telah berjanji akan mengeluarkan satu pakej rangsangan baru bernilai puluhan trilion yen bagi mengatasi kesan pandemik itu terhadap ekonomi ketiga terbesar di dunia itu.