Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Usaha melatih pekerja menunjukkan hasil

Gerakan buruh lalui detik perubahan terus persiap pekerja untuk masa depan
May 01, 2019 | 05:30 AM



PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata usaha untuk melatih semula pekerja dan mempersiapkan mereka menghadapi teknologi serta pekerjaan baru yang berbeza telah membuahkan hasil.



Ini setelah kadar pekerja yang diberhentikan kerja mencapai paras terendah sejak lebih 10 tahun.



Dalam Amanat Hari Pekerja 2019, beliau berkata banyak pekerjaan baru diwujudkan dan industri serta pekerjaan lama semakin berkurangan.



Dengan satu lagi detik perubahan dilalui gerakan buruh, PM Lee menambah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) perlu menjangkakan cabaran itu serta mempersiapkan pekerja dan kesatuan sekerja dengan lebih awal.



"Kalau dahulu, kita tidak menekankan peri pentingnya latihan, peningkatan diri dan penugasan semula kakitangan, syarikat mungkin mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja yang lebih tua dan menggantikan mereka dengan siswazah baru.



"Ini boleh mengakibatkan keadaan yang lebih teruk lagi. Kita mesti teruskan usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.



"Ini merupakan satu maraton tanpa penghujung, tetapi hasilnya menunjukkan kita ada kemajuan," ujar Encik Lee.



Mengongsi lawatannya ke Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat Januari lalu, beliau bertemu rakyat Singapura yang telah mempertingkatkan kemahiran melalui program-program di bawah Inisiatif Suai-Maju yang membolehkan mereka menyandang tugas baru atau memikul tanggungjawab yang lebih besar.



"Ada yang telah berpindah ke syarikat lain atau bertukar industri. Bank-bank, terutamanya, telah menjalankan usaha yang besar dengan melatih semula ribuan kakitangan kaunternya untuk menggunakan teknologi baru dan diberi tugas-tugas lain," kata Encik Lee, sambil menyebut kisah kejayaan itu menjadi inspirasi kepada yang lain untuk berusaha mempertingkatkan kemahiran dan daya penghasilan mereka.



Usaha peningkatan itu, tambah beliau, telah membuahkan hasil di peringkat makro, dengan perangkaan daya penghasilan buruh meningkat sebanyak 3.7 peratus tahun lalu.



Beliau menyifatkannya sebagai satu pencapaian yang baik, walaupun kemajuan yang dicapai tidak sama rata di semua sektor.



"Kebanyakan keuntungan diraih adalah dalam sektor-sektor yang memandang ke luar, terutamanya perkilangan. Kita masih perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan daya penghasilan dalam perkhidmatan domestik, seperti sektor runcit serta sektor makanan dan minuman," jelasnya.



Menyentuh mengenai perubahan yang berlaku dalam pasaran buruh, beliau berkata keadaan luar negara sedang pesat berubah.



"Banyak pekerjaan baru diwujudkan. Industri dan pekerjaan lama semakin berkurangan. Masa hadapan pekerjaan kelihatan sangat berbeza.



"NTUC perlu menjangkakan cabaran itu. Ia mesti mempersiapkan kesatuan, para pemimpin dan para pekerjanya dengan lebih awal untuk menghadapinya, sebelum ia menjadi beban kepada kita," jelas PM Lee.



Oleh itu, tugas besar untuk jangka panjang adalah usaha berterusan untuk mempertingkat kemahiran dan melatih semula pekerja.



Pemerintah, misalnya, telah bekerjasama dengan NTUC dalam banyak program peningkatan dan latihan semula di bawah program SkillsFuture dan inisiatif Suai-Maju.



Gerakan buruh juga memainkan peranan besar dalam menggalak majikan mengambil para pekerja lanjut usia untuk bekerja semula, membantu perikatan tiga pihak bagi mencapai persetujuan dalam menaikkan lagi usia persaraan dan mengambil pekerja lanjut usia untuk bekerja semula.



NTUC juga telah menerajui model gaji progresif dan skim Daya Kerja yang banyak membantu pekerja bergaji rendah.



Di Singapura, kerjasama kesatuan sekerja, majikan dan pemerintah membolehkan pekerja meraih pendapatan lebih baik dan membawa kemajuan kepada negara.



"Kita mesti terus berada dalam laluan ini, dan mengukuhkan kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan perikatan tiga pihak agar walaupun terdapat keadaan yang tidak menentu dan cabaran dalam ekonomi dunia, kita dapat terus berkembang maju dan mengecapi kemakmuran bersama sebagai sebuah negara," tambahnya.



Encik Lee mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Singapura.




"Kalau dahulu, kita tidak menekankan peri pentingnya latihan, peningkatan diri dan penugasan semula kakitangan, syarikat mungkin mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja yang lebih tua dan menggantikan mereka dengan siswazah baru. Ini boleh mengakibatkan keadaan yang lebih teruk lagi. Kita mesti teruskan usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja. Ini merupakan satu maraton tanpa penghujung, tetapi hasilnya menunjukkan kita ada kemajuan."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >