NEGARA kecil seperti Singapura tidak mampu cuai dalam usaha mengekang penularan Covid-19, meskipun keadaan telah menjadi stabil kerana ia boleh berubah dengan pantas, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Malah pada masa ini, Singapura sedang mengalami kelompok jangkitan baru yang sedang menular dengan pantas dan telah sekali lagi memperketat sekatan dan peraturan bagi perhimpunan, ujar beliau lagi.
"Setiap kali anda berfikir anda telah berjaya mengawal keadaan Covid-19 ini, dan anda tahu bagaimana hendak memberi respons yang sewajarnya, ia berubah dan menuju haluan lain," kata Encik Lee yang berkata Singapura harus sentiasa berfikir melebihi apa yang dijangka boleh berlaku.
Beliau berkata demikian lewat semalam, semasa bercakap di Forum Sedunia bagi Pemulihan Ekonomi yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika Syarikat.
Forum itu, yang diadakan buat julung-julung kali, menghimpunkan pemimpin negara dan dalam perniagaan untuk membincangkan peluang dan sekatan yang ada bagi mencapai pemulihan sejagat daripada pandemik ini.
Menjawab soalan mengenai cara Singapura menangani pandemik ini, Encik Lee berkata selain tidak cuai, pengalaman Singapura menangani Sars pada 2003 turut membantu dari sudut penggubalan dasar dan meyakinkan penduduk agar bekerjasama dengan pemerintah.
Beliau turut menekankan peri penting kerjasama antarabangsa, termasuk mengekalkan rantaian bekalan antarabangsa.
"Ada perebutan bagi PPE (peralatan perlindungan peribadi) di awalnya, ada perebutan lagi bagi dos vaksin pada masa ini tetapi rantaian bekalan antarabangsa tidak runtuh," ujar Encik Lee.
"Anda masih boleh membeli iPhone yang dibuat di beberapa negara, anda masih boleh membeli kereta yang memerlukan bahagian berbeza dari beberapa benua," katanya.
Encik Lee berkata Singapura, sebagai negara yang kecil, tidak mampu menutup sempadan dan harus menangani keadaan yang berlaku sepanjang perjalanan.
"Negara lain yang lebih besar boleh berbuat demikian," ujarnya.
"Bagi Singapura, anda memerlukan makanan, bahan api, orang yang keluar masuk, juga semasa Covid-19. Anda harus melakukannya seberapa boleh, sementara melindungi diri sendiri dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti pengujian, aplikasi jejak kontak dan mengadakan protokol untuk memastikan orang yang masuk dipantau dan melalui prosedur yang sewajarnya," kata Encik Lee yang antara lain turut menyentuh topik hubungan AS-China dan perubahan iklim.