Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FORUM GURU BERITA HARIAN

Podcast boleh bantu guru ajar bahasa Melayu

Oct 31, 2019 | 05:30 AM



PENDENGARAN podcast bukan sahaja satu trend yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Melayu, malah ia juga berpotensi menjadi bahan pengajaran kreatif bagi merangsang minat pelajar kepada pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas.



Malah, guru boleh memanfaatkan wadah podcast, seperti #NoTapis, yang dilancarkan Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) tahun ini.



Demikian ditekankan wartawan BH/BM, Cik Shahida Sarhid, kepada sekitar 80 guru yang hadir dalam Forum Guru yang diadakan di News Centre, Singapore Press Holdings Limited (SPH) kelmarin.



"Podcast boleh digunakan guru untuk mengajar murid peribahasa, kemahiran lisan, kefahaman mendengar, menulis e-mel serta karangan ekspositori (esei berbentuk perbincangan). Malah, podcast juga boleh dihasilkan di dalam kelas.



"Inilah peluang untuk pelajar yang petah bercakap, atau sukar bercakap, untuk tampil dan membincangkan isu yang diberikan guru," kata Cik Shahida yang juga merupakan hos rancangan Podcast #NoTapis dan Cakap Masjid.



Guru yang hadir turut mendapat panduan daripada wartawan BH/BM serta penerbit rancangan Podcast #NoTapis dan Cakap Masjid, Cik Siti Aisyah Nordin, mengenai alat mudah yang boleh mereka gunakan di dalam kelas.



Dalam pada itu, mereka juga diperkenalkan kepada struktur podcast dan asas untuk menerbitnya.



Forum Guru anjuran BH/BM dan akhbar pelajar Gen-G itu disambut baik oleh guru.



Antaranya Cik Nurul Huda Muhd Yassin, 29 tahun.



"Sebenarnya baru hari ini saya dapat tahu betapa berkuasanya tarikan podcast terhadap golongan pelajar.



"Melalui sesi hari ini, ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk cuba memulakan cara baharu dari segi pengajaran menggunakan aplikasi seperti ini dalam pengajaran saya," ujar guru Sekolah Menengah St. Anthony Canossian itu.



Bagi Cik Sulastri Amat, yang sudah berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun, meskipun podcast merupakan sesuatu yang baru, tetapi beliau terbuka untuk meneroka wadah sebegitu.



Guru Sekolah Menengah Sembawang berusia 51 tahun itu berkata:



"Pelajar menengah inginkan sesuatu yang dapat menarik perhatian mereka, bukan dengan cara statik, gunakan papan tulis, atau guru menerangkan, mereka mendengar.



"Kita dapati pelajar kini lebih aktif, mahu kegiatan bersifat amali. Sebagai guru yang agak berusia, saya perlukan wadah-wadah sebegini untuk menarik minat pelajar-pelajar saya."



Selain mengupas cara menggunakan wadah podcast dalam pembelajaran, penceramah undangan, pakar media sosial, Dr Elmie Nekmat, Penolong Profesor dari Jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), turut berkongsi mengenai trend media sosial dalam kalangan belia.



Di samping menggalakkan guru agar menggunakan media sosial yang boleh meningkatkan penglibatan pelajar, Dr Elmie menambah guru juga perlu peka dan berwaspada terhadap buruk baik media sosial.



Contohnya, sekiranya disalahgunakan, media sosial boleh membawa kepada kesan buruk.



"Pendidik perlu bersifat terbuka kepada cara baru, cara pembelajaran digital. Mereka perlu bersifat terbuka kepada teknologi baru, inovasi baru dalam pengajaran tetapi pada masa yang sama, mempunyai pemahaman yang lebih mengenai buruk baiknya.



"Dalam pada itu, teknologi, isi dan objektif pembelajaran perlu disesuaikan mengikut peringkat pendidikan pelajar, serta pelajar yang mempunyai keperluan berbeza-beza," ujar Dr Elmie yang juga merupakan anggota Majlis Celik Media.




"Sebenarnya baru hari ini saya dapat tahu betapa berkuasanya tarikan podcast terhadap golongan pelajar. Melalui sesi hari ini, ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk cuba memulakan cara baharu dari segi pengajaran menggunakan aplikasi seperti ini dalam pengajaran saya."
- Cik Nurul Huda Muhd Yassin, guru Sekolah Menengah St. Anthony Canossian.




LANGGANI AKHBAR GEN-G BAGI TAHUN AKADEMIK 2020



Akhbar pelajar Berita Harian, Gen-G, disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah



Antara ciri Gen-G ialah ruangan Gema Belia yang menonjolkan berita sekolah dan belia; Gerbang Karya yang menerbitkan karya pelajar; dan ruangan kreatif Geliga bagi pelajar menghantar lukisan, surat atau komentar mengenai isu semasa



Gen-G turut memaparkan ruangan berita setempat dan dunia serta ruangan khusus menerangkan mengapa berita itu penting



Ciri menarik yang lain termasuk permainan dan latihan bahasa seperti kloz prosedur dan pencarian kata



Akhbar saiz tabloid Gen-G yang mempunyai 16 halaman diterbitkan setiap Isnin (kecuali cuti sekolah)



Guru yang berminat melanggani akhbar Gen-G boleh menghubungi 6319-3692 atau e-mel cirschool@sph.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >