PENGUASA ganti bagi Menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio Perdana Menteri berkaitan Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD) telah mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) mengeluarkan Arahan Pembentulan kepada pengguna Facebook “Ryann Smith,” “Jafri Basron” dan “Denise Fletcher,” serta laman Facebook “Sin Rak Sin Party”.
Dalam kenyataannya pada lewat Jumaat malam (3 Julai), pejabat Pofma berkata pengguna FB tersebut telah memuat naikkan gambar yang diambil dari, atau berkait dengan artikel yang mengandungi kenyataan palsu bahawa Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) telah mengeluarkan “rancangan untuk membangunkan prasarana bawah tanah bersedia untuk menampung 10 juta penduduk.”
Kenyataan itu menambah bahawa pemerintah telah beberapa kali menjelaskan rancangan mengenai jumlah penduduk Singapura.
Pertama, pada Mac 2018, ketika pemerintah menjangkakan jumlah penduduk Singapura mungkin jauh di bawah 6.9 juta orang pada tahun 2030.
Kedua, dalam dua artikel Factually bertajuk, “What is the aim of Government population policies” pada Mac lalu dan “Does the Government have a population target e.g. 10 million?” pada bulan ini.
Dan ketiga dalam satu kenyataan media daripada NPTD pada Rabu lalu (1 Julai).
Kenyataan media itu juga menyatakan bahawa penerbitan kepalsuan tersebut merosakkan kepentingan awam dengan mencemarkan perbincangan yang sah dan jujur.
Ia turut menegaskan bahawa tindakan sewajar boleh diambil terhadap sebarang penerbitan selanjutnya mengenai kepalsuan itu.
“Walaupun dengan penjelasan terkini, kepalsuan itu terus diulangi,” kata pejabat Pofma lagi.
Untuk fakta kes lanjut, sila rujuk artikel Fakta, “Pembetulan dan penjelasan mengenai pos kepalsuan dalam artikel oleh The Online Citizen” di laman : www.gov.sg/article/factually030720a