Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN: SEDUTAN UCAPAN ZAQY MOHAMAD MENGENAI BERITA PALSU

Pofma perisai lindungi masyarakat daripada kepalsuan

Zaqy tukil contoh berita palsu yang cuba pecah belah umat Islam
May 09, 2019 | 05:30 AM



"PERKEMBANGAN pesat teknologi, termasuk dalam wadah maklumat dan komunikasi memberi banyak manfaat kepada dunia dan banyak membantu dalam mempermudah kehidupan kita.



Namun, di sebalik manfaat yang besar ini, wujud juga gejala yang boleh mendatangkan padah.



Sedang kita memanfaatkan teknologi, kita juga perlu mengambil berat mengenai kesan negatif yang wujud dan memikirkan langkah terbaik mengatasinya tanpa menyekat kemudahan dan kelebihan yang boleh kita manfaatkan.



Wadah dalam talian banyak memberi manfaat kepada dunia, tetapi seperti dalam banyak hal, penyalahgunaannya, sama ada sengaja atau tidak, perlu ditangani.



Ini lebih-lebih bagi Singapura, negara kecil berbilang kaum dan agama - ada kaum minoriti, ada pula yang majoriti.



Kumpulan kaum dan agama berbeza ini mampu untuk menjalani kehidupan harmoni, sama ada di sekolah, ruang kehidupan, pekerjaan atau perniagaan.



Ini berlaku bukanlah secara kebetulan. Kita sudah bekerja keras membangunkan dasar dan inisiatif memupuk kepercayaan dalam kalangan kaum dan agama.



Oleh sebab itu, kita tidak sepatutnya memandang remeh dan bersikap sambil lewa terhadap keamanan dan keharmonian hari ini.



Kepelbagaian kita boleh menjadikan kita sasaran pelaku buruk yang berniat jahat dan ingin memecahbelahkan masyarakat daripada sudut perkauman dan keagamaan.



Kita sudah melihatnya berlaku di negara lain. Daripada itu, kita perlu membina perisai sewajarnya.



Realitinya, dunia kita hari ini terdapat individu yang cuba memperguna agama sebagai senjata serangan ke atas penganut agama lain demi mencapai matlamat - untuk memenangi pilihan raya atau meradikalkan orang lain dengan pandangan mereka.



Media sosial dan teknologi digital menjadi alat yang mudah, murah dan cepat untuk menguatkan pandangan mereka dan menenggelamkan suara yang benar.



Kita sudah melihat hal seperti ini berlaku di negara berhampiran.



CONTOH MANIPULASI, KEPALSUAN DISEBAR DALAM TALIAN



Di Indonesia: Indonesia misalnya ialah pasaran ketiga terbesar bagi media sosial Facebook dan pengguna kelima terbesar di seluruh dunia bagi wadah WhatsApp, Instagram dan Twitter.



Penyebaran berita palsu yang menggunakan unsur agama boleh membawa padah kepada negara itu yang majoriti penduduknya orang Islam.



Minoritinya pula ialah penganut agama Kristian, Hindu dan Buddha.



Sewaktu pilihan raya presiden di Indonesia baru-baru ini, agensi pemeriksa fakta di Indonesia, Mafindo, telah merakam berita palsu politik yang menggunakan etnik dan agama untuk menyasarkan kedua-dua calon.



Laporan menunjukkan bahawa berita palsu politik meningkat sebanyak 61 peratus.



Encik Jokowi menjadi mangsa kepada 75 berita palsu yang disebarkan secara berleluasa.



Pencabarnya, Encik Prabowo, menghadapi 54 insiden sedemikian.



Berita palsu itu muncul di Facebook (49.5 peratus), diikuti oleh Twitter (12.8 peratus) dan WhatsApp (11.9 peratus).



Sekitar 30 peratus daripada berita palsu itu telah dikongsi dalam media digital dan 'disusun semula dengan teratur', bersama sokongan butiran dan akaun yang lain.



Kepalsuan berita direka mengikut 'garisan' yang mudah 'retak' dalam sesuatu negara itu.



Kita tidak boleh mengambil pendirian bahawa kes ini berlaku jauh dari negara kita dan kita terlepas daripada bahaya ini.



Saya ingin menyebut contoh ketegangan orang fahaman Sunni-Syiah yang wujud dalam insiden beberapa tahun lalu.



Kejadian melibatkan dua pegawai polis yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu berkaitan pengganasan.



Salah seorang yang ditahan dikatakan berpegang pada fahaman bahawa perang di Syria merupakan konflik antara Sunni dengan Syiah.



Dia mahu menyertai kumpulan Free Syrian Army dan berperang menentang golongan Syiah di Syria.



Perhatikan kesan ketegangan yang boleh berlaku di Singapura:



Di negara ini, golongan berfahaman Sunni membentuk majoriti penduduk Islam manakala kaum Syiah membentuk sekitar 1 peratus saja.



Di Singapura: Hakikatnya, Singapura tidak terlepas daripada kebencian yang disasarkan terhadap kaum Syiah yang semakin meluas di seluruh dunia.



Kumpulan media sosial di Facebook 'MelayuSingapura Tolak Syiah', dengan seramai 1,814 ahli didapati sering menyerang golongan Syiah.



Ada juga komen di YouTube dan media sosial yang merujuk kepada golongan Syiah sebagai sesat dan murtad, bahkan mengejek mereka sebagai monyet dan syaitan.



Encik Hazrul Jamari, yang memberikan pandangan di Jawatankuasa Pemilihan, berkata beliau mendapati video insiden pemancungan di Syria tersebar di media sosial Singapura.



Video ini bertujuan melagakan golongan Syiah dan Sunni.



Beliau bersetuju bahawa ketegangan antara orang Sunni dan Syiah menjadi lebih buruk oleh kiriman dan perkongsian pos tersebut.



Ucapan berbaur kebencian biasanya dikongsi dan sering disokong oleh naratif kepalsuan.



Antaranya:



Dakwaan bahawa Syiah dicipta oleh orang Yahudi Yaman lebih 1,400 tahun lalu di kawasan Arab untuk memecahbelahkan masyarakat Islam pada awal abad lalu.



Ini sebenarnya kenyataan yang tidak dipandang serius oleh mana-mana ulama utama Islam lain.



Satu lagi contoh ialah dakwaan bahawa golongan Syiah memiliki Al-Quran sendiri.



PERI PENTINGNYA UNDANG-UNDANG TANGANI KEPALSUAN



Jadi, bagaimanakah rang undang-undang ini akan menangani perkara sedemikian?



Perlu diperjelas bahawa dakwaan berhubung sejarah dan interpretasi sejarah agama tidak akan termaktub di bawah Rang Undang-Undang ini.



Namun, jika terdapat kepalsuan fakta yang digunakan untuk mencetus ketegangan, ia boleh membantu menangkisnya.



Hakikatnya, berita palsu, jika dibenarkan berleluasa, boleh menjadi ancaman kepada masyarakat kita.



Strategi menanganinya telah dibincangkan secara meluas.



Langkah yang diusulkan telah dipertimbang dengan teliti, tanpa bertujuan menyekat pengaliran maklumat mahupun membataskan pandangan.



Ini termasuk siapakah penguasa yang dapat bertindak dan apakah perlu ada badan memeriksa fakta.



Namun, berdasarkan contoh yang saya sebutkan di atas, kecepatan berita palsu merebak, terutama yang melaga-lagakan agama, boleh mencetuskan keadaan tidak diingini jika tidak dipintas segera.



Saranan agar menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada sama ada sebuah badan atau jawatankuasa ialah usul yang baik.



Namun, daripada segi pelaksanaan, ia meletakkan satu lagi lapisan dan prosesnya mungkin mengambil masa.



Badan sedemikian pun perlu dilantik pemerintah.



Oleh sebab itu, usul agar seseorang menteri boleh mengambil langkah mengeluarkan pembetulan fakta kepada sesuatu berita palsu ialah cara terbaik.



Ini boleh dilakukan dengan lebih cepat dan pada masa sama tidak bererti seseorang menteri itu boleh bertindak tanpa sebab kukuh.



Undang-undang itu hanya akan digunakan jika sesuatu kenyataan fakta adalah palsu dan bertentangan dengan kepentingan awam.



Apabila berlaku kes seperti ini, langkah yang digunakan kemungkinan besar ialah arahan pembetulan, iaitu menyertakan pembetulan untuk mengiringi kenyataan palsu.



Pembaca akan menentukan sendiri kebenarannya.



TERLALU BANYAK KUASA DIBERIKAN KEPADA MENTERI ATAU PEMERINTAH?



Mungkin terdapat keprihatinan bahawa menerusi akta ini, apakah menteri atau pemerintah diberi terlalu banyak kuasa sekatan dan siapakah yang dapat mengatasi kuasa pemerintah ini?



Dalam hal ini, saya alu-alukan bahawa ada proses dan saluran terbuka bagi pihak yang ingin mencabar sesuatu keputusan itu untuk membawanya ke mahkamah.



Prosesnya akan dijadikan secara cepat dan mudah.



Pada akhirnya, sebagai negara yang tidak terlepas daripada ancaman dan gejala seperti kepalsuan dalam talian, kita pastinya akur bahawa strategi rapi dan berkesan perlu diambil dan kita tidak boleh melengahkannya.



Ini memerlukan kesefahaman dan kerjasama semua pihak.



Kita sudah lama berdepan dengan gejala dan bahaya kepalsuan dalam talian dan melihat antara kesan buruknya adalah memecahbelahkan masyarakat.



Apakah kita harus mendiamkan diri?



Sudah menjadi satu amanah kepada pemerintah untuk melindungi keselamatan setiap lapisan masyarakat dan menjaga kepentingan negara.



Selama ini, warga telah memberi kepercayaan kepada pemerintah.



Rang undang-undang ini satu lagi langkah perlindungan buat warga.



Tuan Speaker, saya menyokong rang undang-undang ini."




"Kita sudah lama berdepan dengan gejala dan bahaya kepalsuan dalam talian dan melihat antara kesan buruknya adalah memecahbelahkan masyarakat. Apakah kita harus mendiamkan diri? Sudah menjadi satu amanah kepada pemerintah untuk melindungi keselamatan setiap lapisan masyarakat dan menjaga kepentingan negara. Selama ini, warga telah memberi kepercayaan kepada pemerintah.

Rang undang-undang ini satu lagi langkah perlindungan buat warga."




"Mungkin terdapat keprihatinan bahawa menerusi akta ini, apakah menteri atau pemerintah diberi terlalu banyak kuasa sekatan dan siapakah yang dapat mengatasi kuasa pemerintah ini?

Dalam hal ini, saya alu-alukan bahawa ada proses dan saluran terbuka bagi pihak yang ingin mencabar sesuatu keputusan itu untuk membawanya ke mahkamah. Prosesnya akan dijadikan secara cepat dan mudah. Pada akhirnya, sebagai negara yang tidak terlepas daripada ancaman dan gejala seperti kepalsuan dalam talian, kita pastinya akur bahawa strategi rapi dan berkesan perlu diambil dan kita tidak boleh melengahkannya. Ini memerlukan kesefahaman dan kerjasama semua pihak."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >