ENAM individu termasuk beberapa pengendali cawangan sedang disiasat berikutan serbuan polis di 10 kedai urut di sini.
Enam cawangan didapati melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Pertubuhan Urut sementara empat lagi didakwa beroperasi tanpa lesen sah, kata polis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Aktiviti maksiat dikatakan berlaku di dua lagi cawangan lain.
Serbuan polis itu yang dilakukan Divisyen Polis Ang Mo Kio antara 26 Ogos dengan 2 September lalu.
Kedai-kedai urut itu terletak di Ang Mo Kio Avenue 1 dan Avenue 4, serta Jalan Selaseh, Simon Road, dan Upper Serangoon Road.
Mereka yang didapati bersalah menjalankan perniagaan yang menyediakan perkhidmatan urut di kedai yang urut tanpa lesen yang sah boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pertubuhan Urut boleh didenda sehingga $5,000 dengan pesalah berulang boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Polis dalam kenyataannya berkata mereka "melakukan operasi penguatkuasaan secara karap di kedai-kedai urut untuk mengekang aktiviti maksiat dan haram lain".
"Pesalah akan dihukum dengan tegas sesuai dengan undang-undang," tambah kenyataan polis itu lagi.