Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Polis kata wanita yang maut dalam kemalangan di Ang Mo Kio sebenarnya dilanggar beberapa kenderaan; pemandu bas ditahan

Jun 22, 2022 | 07:30 PM



WANITA yang maut dalam sebuah kemalangan di Ang Mo Kio telah dilanggar oleh beberapa kenderaan, termasuk sebuah bas Tower Transit dan sebuah teksi Trans-Cab.


Seorang pemandu bas lelaki berusia 53 tahun ditahan kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian, kata polis pada Rabu (22 Jun).


Mereka sebelum ini berkata kemalangan itu melibatkan seorang pejalan kaki dan sebuah teksi, tetapi siasatan menunjukkan beberapa kenderaan sebenarnya terlibat.


Kemalangan itu berlaku sekitar 10.25 malam pada Isnin lalu di sepanjang Ang Mo Kio  Street 21.


Wanita berusia 61 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura.


Walaupun beberapa kenderaan terlibat, hanya pemandu Trans-Cab itu yang berada di lokasi, lapor The Straits Times.


Pemandu teksi lelaki berusia 67 tahun itu dan seorang lagi lelaki berusia 58 tahun, yang memandu sebuah kereta privet, sedang membantu dalam siasatan polis.


Akhbar Cina Shin Min Daily News melaporkan bahawa mangsa telah diseret jauh selepas dilanggar.


Darah dilihat sekitar 20 meter dari khemah polis yang menutupi mayatnya pada malam Isnin.


Polis berkata masih belum dapat dipastikan kenderaan mana yang pertama melanggar wanita itu.


Tetapi difahamkan bahawa apabila polis tiba, hanya pemandu teksi itu yang berada di tempat kejadian.


Teksi itu dipercayai melanggar wanita tersebut dan terus bergerak sebelum pemandu itu membuat pusingan U apabila menyedari dia telah melanggar seseorang.


Pemandu teksi itu dilihat dalam keadaan tertekan di tempat kejadian, dan ahli keluarganya terpaksa dipanggil ke lokasi untuk menenangkannya.


Penyiasat kemudian menjejaki pemandu lain, membawa kepada penahanan pemandu bas di lokasi lain.


Seorang jurucakap Tower Transit mengesahkan bahawa salah satu basnya yang menggunakan laluan perkhidmatan bas 169 terlibat dalam kemalangan itu.


“Kapten bas terbabit telah digantung tugas dan sedang membantu siasatan polis,” katanya.


Di bawah Akta Trafik Jalan Raya, mereka yang didapati bersalah menyebabkan kematian dengan memandu tanpa berhati-hati boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda hingga $10,000.


Mereka yang didapati bersalah gagal berhenti dalam kes kemalangan yang menyebabkan kematian boleh dipenjara hingga setahun dan didenda $3,000, serta hilang kelayakan memandu selama sekurang-kurangnya setahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >