Subuh
5:56
Syuruk
7:13
Zuhur
1:17
Asar
4:26
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Polis mencari pesalah pembuang botol wain yang menyebabkan kematian

Aug 22, 2019 | 08:17 AM

POLIS telah pergi dari rumah ke rumah di sebuah kondominium di Spottiswoode Park Road untuk mencari pesalah yang bertanggungjawab membuang botol wain dari tingkat tinggi, yang menyebabkan kematian seorang lelaki berumur 74 tahun Isnin lalu (19 Ogos).

Penduduk di kondominium Spottiswoode 18 memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa polis telah menunjukkan kepada mereka gambar sebotol wain Itali dan bertanya sama ada mereka telah meminum wain dan bersedia memberikan sampel cap jari.

Seorang penduduk, Encik Jeremy Tan, 30 tahun, berkata polis telah ke rumahnya pada malam Selasa (20 Ogos) untuk bertanya sama ada beliau meminum wain, atau jika beliau tahu tentang kemungkinan adanya seorang pengacau di kawasan itu.

"Polis menunjukkan kepada kami gambar sebotol wain Itali dan bertanya sama ada kami rela menyediakan sampel biometrik jika ia diperlukan," kata Encik Tan, seorang pengurus perniagaan pengedaran produk penjagaan kulit.

Beliau berkata ia tidak mungkin botol itu jatuh dengan tidak sengaja dari unit di kondominium tersebut kerana balkoni unit-unit di blok itu tidak terletak di atas kawasan pit barbeku, di mana mangsa, Encik Nasiari Sunee, rebah setelah terkena botol.

Berita Popular

Datuk bercucu sembilan itu berada di kondominium tersebut untuk menghadiri satu acara doa selamat rumah baru pada malam Ahad (18 Ogos), dan berada di kawasan pit barbeku untuk menikmati juadah yang tersedia apabila beliau terkena botol wain itu di kepalanya.

Botol wain itu juga terkena isteri mangsa, 69 tahun.

Encik Nasiari dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH), di mana beliau meninggal dunia pada pagi Isnin.

Penduduk kondominium itu memberitahu ST bahawa terdapat ruang yang akan menghalang barangan daripada terjatuh dari balkoni ke kawasan pit barbeku, termasuk tembok kecil yang meluas dari setiap balkoni.

Menurut peguam, mereka yang membuang sampah kecil seperti putong rokok atau kertas tisu sembarangan boleh dihukum di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar dengan dikenakan denda atau perintah kerja denda pembetulan, atau kededuanya sekali.

Pesalah yang membuang barangan lebih besar yang membahayakan nyawa boleh menghadapi tuduhan jenayah.

Peguam Rajan Supramaniam berkata walaupun barangan itu telah jatuh dari tempat tinggi dengan tidak sengaja, mereka yang bertanggungjawab boleh dikenakan hukuman atas perbuatan cuai dan dijatuhi hukuman penjara atau denda, atau kededuanya sekali.

Mereka yang membuang sampah sembarangan juga boleh didakwa melakukan perbuatan cuai, seperti kes ini, katanya, apabila tindakan mereka dilakukan tanpa peduli akan akibatnya.

Almarhum Encik Nasiari disifatkan oleh keluarga sebagai seorang yang amat disayangi oleh keluarga dan jiran tetangga.

"Malah, ramai saudara mara yang memanggilnya 'ayah',"kata Encik Nas Muhammad Nasta'in Nasiari, anak lelaki mangsa.

 

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map