Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PASCAPLIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Polis M'sia rampas 72 beg berisi wang tunai, barang kemas

May 19, 2018 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Polis Malaysia malam kelmarin menyerbu tiga apartmen di sebuah kondominium mewah Kuala Lumpur milik keluarga mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan membawa pergi 284 kotak berisi beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang, jam tangan dan barangan berharga lain.



Sementara itu, kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan sedang menimbangkan menyiasat Datuk Najib bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa, sedang ia meningkatkan usaha mendapatkan bukti salah laku di dana pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa hari lalu membentangkan senarai menyeluruh yang memperincikan skop siasatan ke atas 1MDB, menurut orang yang melihat dokumen itu, lapor Bloomberg.



Jurucakap SPRM tidak dapat memberi komen segera apabila dihubungi semalam, ujarnnya.



Semalam, pengarah siasatan jenayah komersial polis, Encik Amar Singh, berkata polis memeriksa enam premis yang ada kaitan dengan keluarga Datuk Najib sejak Rabu - Pejabat Perdana Menteri (PMO), kediaman Datuk Najib di Taman Duta dan empat lagi kediaman yang ada kaitan dengannya, lapor media tempatan.



Di salah satu kediaman itu, Pavilion Residences, polis mengambil apa yang mungkin merupakan rampasan terbesar mereka, mengisikan lima trak polis dengan beratus-ratus kotak oren mengandungi beg Hermes Birkin. Astro Awani melaporkan bahawa seorang pegawai polis muncul dari kondominium itu dengan mesin kira wang.



Encik Singh, yang bercakap kepada pemberita di luar kondominium itu awal pagi semalam selepas serbuan tersebut, berkata apartment itu milik seorang "Tan Sri", tetapi enggan mengatakan lebih lanjut.



"Nilai jumlah barang itu tidak dapat dipastikan sekarang," kata Encik Singh. "Kami akan menghitung dan akan tahu pada hari esok."



Beliau berkata: "Jumlah barang kemas agak besar."



Banyak kotak oren dilabelkan dengan gambar pelbagai beg Birkin, dengan penerangan seperti "Brown Ostrich".



Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Datuk Najib, diketahui gemar beg Birkin.



Setiap beg itu berharga antara AS$12,000 ($16,105) dan AS$300,000.



Beliau mencetuskan kekecohan apabila dilaporkan membeli sebuah beg Birkin kulit buaya berharga AS$200,000 pada 2015. Tetapi penolong beliau menafikannya.



Pada Sabtu lalu, anggota sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memfailkan laporan polis, mendakwa bahawa mereka menerima bukti video menunjukkan apa yang dikatakan sebagai percubaan yang "menyembunyikan" sekurang-kurangnya 50 beg Birkin yang mungkin milik Datin Rosmah.



Video itu dikatakan menunjukkan beg-beg itu dipindahkan ke Pavilion Residences dalam van Jabatan Perdana Menteri.



Barang-barang turut diambil semasa serbuan di kediaman Datuk Najib di Taman Duta kelmarin.



Semalam, pasukan penyiasatan jenayah membuat laporan tentang barang yang dirampas dari rumah itu.



Antaranya ialah 52 beg tangan mewah, termasuk 16 beg tangan Chanel, 10 Gucci, lapan Versace dan lima Oscar de la Renta.



Barang lain yang dirampas dari rumah itu ialah 10 jam tangan mewah, termasuk beberapa Rolex, sebuah Hublot dan sebuah Patek Philippe, serta wang tunai RM537,000 ($181,000) dan 2.87 juta rupee Sri Lanka ($24,400).



Polis berkata barang-barang tersebut dirampas kerana pasukan itu mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki ia adalah subjek jenayah atau jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Antipengganasan dan Hasil Kegiatan Haram 2001.



Rampasan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas 1MDB, yang ditubuhkan oleh pentadbiran Datuk Najib sebagai dana kekayaan yang bertujuan menjana pembangunan ekonomi melalui pelaburan strategik.



Bagaimanapun, dana itu berkembang menjadi hutang, dan pada puncaknya, mengumpulkan hutang berjumlah hingga RM50 bilion.



Datuk Najib dan isterinya dikaitkan dengan skandal kewangan berprofil tinggi itu. Jabatan Kehakiman Amerika dalam siasatannya mendapati Datin Rosmah membeli berlian merah jambu bernilai AS$23 juta menggunakan dana 1MDB.



Datuk Najib telah menafikan sembarang kesalahan.



Mengenai siasatan berkaitan kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh Datuk Najib, Bloomberg melaporkan ia termasuk menyekat saksi dan satu kes jenayah bank pusat.



Antara perkara lain yang sedang disiasat SPRM ialah:



- Apakah pecah amanah berlaku dalam kes sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan bagi bon-bon 1MDB



- Dakwaan pelaburan penipuan dibuat oleh dana itu



- Satu pengeluaran bon tanpa kelulusan oleh 1MDB di luar Undang-Undang Tubuh Syarikat dana itu



- Dana masuk ke akaun peribadi Datuk Najib.



Dr Mahathir berkata kelmarin bahawa beliau akan berusaha mendapatkan semula dana yang dialihkan daripada 1MDB dengan menghubungi pihak berkuasa di Switzerland, Amerika, Singapura dan bidang kuasa lain.



Sebuah jawatankuasa parlimen pada 2016 mengenal pasti urus niaga tidak teratur berjumlah sekurang-kurangnya AS$4.2 bilion oleh dana itu.



Kelmarin, Dr Mahathir menubuhkan sebuah jawatankuasa berasingan untuk meneliti perkara berkaitan 1MDB. - Agensi berita




URUTAN PERISTIWA



* Ahad 13 Mei: Polis mula mengepong laluan masuk ke kediaman privet mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



* Selasa 15 Mei: Perdana Menteri baru Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang video di mesyuarat Majlis CEO The Wall Street Journal di Tokyo, berkata bahawa beliau yakin pendakwa tidak lama lagi akan mempunyai kes kukuh untuk mengenakan dakwaan ke atas bekas perdana menteri itu.



Apabila ditanya apakah beliau bersedia berunding bagi melepaskan Datuk Najib jika bekas perdana menteri itu menawarkan maklumat yang boleh menemukan semula wang 1MDB, Dr Mahathir hanya berkata: "Tidak akan ada perjanjian."



* Rabu 16 Mei: Sepasukan polis dilihat memasuki kediaman Datuk Seri Najib malam Rabu, selepas beliau pulang daripada menunaikan solat di masjid.



* Khamis 17 Mei: Polis mengesahkan pihaknya menjalankan pencarian ke atas enam lokasi kediaman milik dan ada kaitan dengan Datuk Seri Najib. Pencarian polis diteruskan, namun tiada penangkapan dibuat.



* Jumaat 18 Mei: Polis berkata 72 bagasi mengandungi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga serta 284 kotak berisi beg tangan berjenama ditemui dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residences Apartment yang diperiksa polis berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Antara barangan yang dirampas ialah:



- 16 beg tangan Chanel, 10 Gucci, lapan Versace dan lima Oscar de la Renta.



- 10 jam tangan mewah, termasuk beberapa Rolex, sebuah Hublot dan sebuah Patek Philippe



- Wang tunai RM537,000 ($181,000) dan 2.87 juta rupee Sri Lanka ($24,400).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >