SEBUAH prasekolah di Bedok disiasat oleh polis setelah seorang ibu mendakwa bahawa anaknya didera oleh seorang guru di sekolah itu, kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada Isnin (4 November).
Ibu tersebut, Cik Mickie Sae, mengongsi di Facebook Rabu lalu bahawa anak lelakinya yang berusia tiga tahun didera oleh gurunya selama sekitar sebulan di Sunflower Preschool di Bedok.
Beliau berkata bahawa anaknya, yang telah dimasukkan ke prasekolah itu Jun lalu, sering pulang rumah dengan tanda-tanda di badannya, termasuk tanda kuku di telinganya serta lebam di leher yang menyerupai kesan geseran tali.
Beliau membawa anaknya ke doktor, yang mengatakan bahawa luka di leher anaknya disebabkan tergesek.
Beliau menemui pengetua prasekolah itu dan meminta untuk melihat rakaman kamera litar tertutup namun sekolah tersebut tidak membenarkannya. Beliau kemudian membuat laporan polis.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap ECDA berkata mereka memandang serius terhadap salah urus anak.
“Pada Ogos 2019, ECDA dimaklumkan tentang kejadian ini oleh pihak polis. Kes ini masih dalam siasatan.
“ECDA bekerjasama secara rapat dengan prasekolah tersebut untuk memastikan kanak-kanak dipantau dengan dekat, dan memberi bimbingan dan sokongan terhadap guru dalam pengurusan bilik darjah.”