POLIS sedang menyiasat kejadian seorang wanita yang dirakam dalam video mengganggu upacara sembahyang Hindu jirannya dengan memalu gong.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times pada Khamis (10 Jun), polis mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat dengan wanita berusia 48 tahun sedang membantu polis dengan siasatan itu.
Pada petang Rabu, Encik Libanesh Ramu memuatnaikkan klip video 19 saat mengenai kejadian itu di Facebook yang menunjukkan seorang lelaki berkaca mata membunyikan loceng - amalan kebiasaan dalam sembahyang Hindu - sambil menjalankan upacara di luar flat HDB.
Seorang wanita kemudian muncul dari flat sebelah rumahnya, mengambil sesuatu dari lantai dan memalu dengan kuat gong kecil selama 15 saat. Selepas bunyi loceng tidak lagi kedengaran, wanita itu terus memalu gong itu beberapa kali sebelum masuk ke dalam unit rumahnya semula.
Encik Livanesh menjelaskan dalam lampiran pos Facebook: "Seperti ramai penganut Hindu lain, ini adalah sebahagian daripada rutin sembahyang kami selama lima mint, dua kali seminggu.
"Setelah menetap di rumah ini selama lebih 20 tahun, kami tiada sebarang isu. Saya kira dengan Covid-19, kita mempunyai norma baru."
Dalam satu pos sekitar 6.23 petang, Encik Livanesh berkata beliau dan keluarganya telah memberi kenyataan kepada pihak berkuasa.
Katanya lagi: "Sedang kami menanti penemuan (polis) selanjutnya, saya tidak mahu mengandaikan apa-apa bagi pihak jiran saya berhubung dengan tindak-tanduknya.
"Buat masa ini, saya tersentuh dengan semangat satu padu warga Singapura dalam menentang sikap tidak toleransi ini.
"Terima kasih kerana memberitahu kami bahawa kami tidak keseorangan berdepan dengan isu ini."
Sehingga 7.10 malam Khamis (10 Jun), video ini sudah mendapat lebih 4,700 respons.
Kejadian terkini ini menyusuli beberapa perbuatan terbuka berbaur perkauman di sini yang juga sedang disiasat polis.