Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

Polis tertua Singapura yang sudah bersara singkap zaman polis pakai seluar pendek

Jan 10, 2020 | 03:06 PM

DULU, anggota polis memakai seluar pendek.

Dan sememangnya, itulah pakaian Encik Yusof Bin Mohammad, 98 tahun, apabila menyertai angkatan tersebut pada 1946, yang waktu itu dipanggil Straits Settlement Police.

Pegawai polis bersara tertua yang masih hidup dan menerima pencen itu berkata bahawa beliau rindu sedikit pekerjaan itu tetapi “tidak kuat lagi” untuk kejar orang sepertimana yang dilakukannya dulu.

Beliau juga berkata bahawa seragam polis sekarang lebih “smart” berbanding dahulu.

Encik Yusof, yang kulitnya dimamah usia, masih kuat lagi berjalan sendiri.

Ketika ditemui Berita Harian(BH) di kawasan rumahnya di Taman Jurong, warga emas itu baru sahaja pulang menaiki bas daripada masjid yang terletak di Eunos, seorang diri.

Menceritakan perjalanannya sebagai pegawai polis, Encik Yusof masih ingat lagi waktu di mana beliau bertukar pekerjaan daripada seorang porter di hospital kepada pegawai polis pada era setelah Perang Dunia Kedua.

“Di hospital, keadaannya amat menakutkan kerana waktu itu waktu perang jadi mereka yang dihantar ke hospital ada yang putus kaki, putus tangan, anggota semua. Jadi bila kita angkat, kita tengok pun tak boleh tahan. Rasa kesian, rasa takut juga.

“Jadi saya tukar pekerjaan menjadi polis,” ujarnya yang ditugaskan menjadi pegawai ronda yang membuat rondaan dengan berjalan kaki atau berbasikal sahaja.

Melihat huru-hara di Singapura dan bom jatuh sana-sini sewaktu zaman perang, Encik Yusof akur bahawa antara sebab mengapa beliau ingin menjadi polis juga adalah untuk menjaga keamanan negara ini.

Menjadi pegawai polis sewaktu zaman Singapura belum mencapai kemerdekaan juga bermakna Encik Yusof melalui zaman di mana pecah belah antara kaum berlaku.

Ketika berkongsi tentang rusuhan Maria Hertogh, Encik Yusof masih ingat lagi kekecohan waktu itu di mana orang ramai marah dengan polis dan menyerang mereka.

“Banyak terjadi. Kadang-kadang mereka lempar botol ke arah kepala polis sampai berdarah. Orang baling barang sana-sini.

“Kawan saya kena tembak dekat kaki,” kata bapa tujuh anak itu.

Meksipun bukan sebahagian daripada skuad rusuhan, Encik Yusof berkata sejurus sahaja siren berbunyi, beliau perlu memakai seragam penuh, ambil senjata dan bersedia.

Beliau akur bahawa pekerjaan sebagai pegawai polis zaman itu bukan mudah, dan isterinya sering risau kerana pekerjaan Encik Yusof membahayakan.

Namun, pekerjaan itulah yang mampu membantu beliau menyara kehidupan mereka anak beranak.

Pada 1959, Encik Yusof dipindahkan ke polis marin di mana beliau berhadapan dengan lanun dan kerap angkat mayat daripada laut.

“Bila nampak lanun, kita akan tembak angin supaya mereka lari masuk dalam kawasan mereka. Kita lakukan itu jika mereka masuk kawasan Singapura,” ujarnya yang bersara pada usia 48 tahun dan kemudian menjadi pengawal keselamatan.

Beliau yang sudah hidup hampir satu abad itu dan melihat perkembangan Singapura berkata bahawa negara ini kini jauh lebih aman dan dalam kedudukan yang lebih baik.

Sememangnya, beliau bangga berkhidmat sebagai polis dan masih menyimpan kenangan lama seperti gambar lama mahupun lencana.
“Bila saya pakai seragam, saya rasa bangga. Bila tak ada seragam, saya tak rasa bangga,” ujarnya.

Encik Yusof yang menasihati anggota polis muda agar melakukan kerja sebaik mungkin berkata bahawa pakaian polis dahulu dan sekarang mungkin berbeza.

“Namun, tanggungjawabnya tetap sama,” katanya yang akur bahawa tanggungjawab polis adalah untuk menjaga keamanan negara.  

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian