Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Polis tidak boleh bertindak sesuka hati walau ada perlindungan

Desmond Tan: Pegawai dilindungi jika bertindak dengan 'niat baik dan dengan berhati-hati sewajarnya'
Aug 04, 2021 | 05:30 AM



PERLINDUNGAN baru bagi pegawai polis tidak bermakna mereka boleh "bertindak tanpa peduli", dan mereka yang melakukan demikian akan dikenakan tindakan disiplin atau diheret ke mahkamah, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Desmond Tan.



Beliau berkata demikian semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang (Pindaan) Pasukan Polis, yang kemudiannya diluluskan di Parlimen semalam.



Antara perubahan dalam rang itu ialah memberi kuasa kepada polis untuk memaksa masuk premis seperti rumah apabila terdapat kecemasan perubatan dan membenarkan Pesuruhjaya Polis menugaskan kuasa kepada pegawai awam yang memegang peranan kepimpinan.



Selain itu, denda lebih berat akan dikenakan bagi kesalahan mengelak sekatan jalan raya.



Perbahasan rang itu berlangsung kelmarin dan semalam, dengan lapan Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua bahagian Dewan mengetengahkan keprihatinan mereka.



Klausa melindungi pegawai polis sepenuh masa dan mereka yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dalam Polis Singapura (SPF), pegawai ehwal komersial dan pakar forensik daripada tanggungan hanya dikuatkuasakan jika seseorang pegawai itu bertindak dengan "niat baik dan dengan berhati-hati sewajarnya", kata Encik Tan.



Pegawai polis ada kalanya perlu membuat keputusan dengan cepat dan tepat untuk menyelamatkan nyawa, meskipun tindakan mereka mungkin boleh menyebabkan kecederaan atau kerosakan pada hartanah, ujar beliau, sambil menambah bahawa keadaan sedemikian boleh berlaku dalam "sekitaran yang mempunyai tekanan tinggi".



Encik Tan memberi contoh pegawai polis menggunakan alat renjat (taser) ke atas seseorang yang menggunakan parang di tempat awam sesak, demi memastikan keselamatan awam.



"Di sini, mempertahan diri dengan niat baik dan dengan berhati-hati sewajarnya diterima meskipun orang itu mengalami kecederaan akibat (tindakan itu), kerana pegawai polis itu percaya sejujurnya dan berdasarkan alasan wajar objektif bahawa tindakannya itu perlu demi mengelakkan kecederaan dan pegawai polis telah mematuhi protokol operasi standard bagi menggunakan alat renjat bagi mengekang seorang yang merbahaya dan bersenjata," katanya.



Namun, Encik Tan berkata pindaan undang-undang itu dapat memberi jaminan lebih meluas kepada pegawai dan menjadi ketara bahawa mereka mempunyai perlindungan bagi tindakan yang dilakukan dengan niat baik dan jagaan wajar di bawah undang-undang, agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin.



Menurutnya, perlindungan itu sama seperti yang diperuntukkan kepada yang lain di bawah Kementerian Ehwal Dalam Negeri, seperti pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).



Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris Punggol) bertanya apa yang disifatkan sebagai "kecemasan perubatan" dan bagaimana pegawai polis menilai kecemasan perubatan di balik pintu yang dikunci.



Encik Tan menjawab bahawa pegawai polis harus menimbangkan beberapa perkara, termasuk tanda-tanda meminta bantuan seperti jeritan meminta bantuan dan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada ahli keluarga dan jiran untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.



Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Shahira Abdullah bertanya apakah terdapat bantuan bagi pemilik hartanah dalam kes paksa masuk.



Encik Tan berkata meskipun SPF mungkin menawarkan pampasan bagi kerosakan hartanah, ini akan dinilai mengikut setiap kes.



Berhubung kesalahan mengelak sekatan jalan raya, Encik Tan berkata SPF menjalankan sekitar 8,000 sekatan jalan raya setiap tahun dari 2016 hingga 2020.



Terdapat 33 kes mengelak sekatan jalan raya di mana pesalah didakwa atau dikenakan amaran tegas. Daripada bilangan itu, dua kes menyebabkan kecederaan ke atas pegawai polis.



Encik Desmond Choo (GRC Tampines) menyarankan agar hukuman penjara minimum wajib dikenakan bagi kesalahan tersebut.



Encik Tan berkata tindakan mengelak sekatan jalan raya bukan menghalang proses kehakiman sahaja, bahkan tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.



Menurut beliau, hukuman penjara minimun wajib adalah bagi mereka yang memandu dengan bahaya dan menyebabkan kematian atau kecederaan teruk.




"Apa mungkin terjadi jika individu yang dikenakan alat renjat meninggal dunia akibat masalah kesihatan yang dialaminya? Tidakkah patut pegawai itu dilindungi daripada tanggungan? Ada alasan, jika pegawai itu bertindak dengan niat baik dan mematuhi semua peraturan dan SOP, bagi dia tidak dikenakan liabiliti secara peribadi dalam contoh ini. Pindaan ini pastinya akan melindungi dan memberi jaminan kepada pegawai itu sedang mereka menjalankan tugasan polis mereka."
- Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).



"Saya mengalu-alukan tindakan masuk secara paksa tidak boleh digunakan terhadap mereka yang mungkin ingin membunuh diri. Saya bersetuju ini merupakan keadaan kompleks dan mungkin mengikut emosi. Pegawai tidak memahami kesan tindakan masuk secara paksa ke dalam premis yang dihuni seseorang yang ingin membunuh diri mungkin menghadapi risko menjadikan keadaan lebih teruk.
- Dr Shahira Abdullah (NMP).



"Pindaan yang diusul ke atas Akta Pasukan Polis tepat pada masanya kerana ia membolehkan SPF (Pasukan Polis Singapura) tidak ketinggalan daripada ancaman baru dan terus menjadikan Singapura selamat. Tetapi sedang kita meluaskan kuasa pegawai dalam pelbagai kategori, kita juga perlu memastikan kita dapat terus menarik calon terbaik untuk melaksana peranan pakar dalam SPF."
- Encik Melvin Yong (Radin Mas).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >